Kuala Lumpur – Bagaikan trend di seluruh pelosok negara bangunan lama mahupun lorong sepi diperindahkan bagi mampu menarik orang ramai menghayati seni dan bersosial seisi keluarga atau bersama rakan-rakan.
Sebagai menghargai hasil seni anak tempatan dan menyambut ulang tahun Manggis Group yang ke-20, satu inisiatif menghidupkan lorong di Jalan Negara, Taman Melawati dilakukan sebagai lokasi healing baharu buat penghuni kota.

Dinamakan Jalan Negara Kita, lorong seni ini dijadikan hub bagi membina pembangunan program kreatif yang konsisten setiap bulan dengan menampilkan kumpulan seni rakyat, busking, pelakon, penulis dan penggiat seni jalanan disamping menjalankan aktiviti komuniti seperti tarian, nyanyian, permainan rakyat, malam puisi dan riadah santai sesuai semua peringkat usia.

Pengasas Manggis Group, Nazura Zahian Rahime, menyifatkan pembukaan Jalan Negara Kita ini sebagai tempat berkumpul bagi semua penggiat seni pelbagai bidang tidak kira golongan veteran mahupun pendatang baru bertukar-tukar idea dan pendapat disamping memberi nafas baru kepada cabang seni yang ada.

“Jalan Negara Kita ini dibuka dari hasil idea kami sendiri berikutan pembukaan pameran ekperiential Rahmat Bahagia anjuran A.P Art Gallery Manggis Group yang dikurasikan oleh Tuan Anderson Ee.
“Pameran ini mempamerkan aktiviti seni kemasyarakatan dan barangan lama yang menggamit memori serta nostalgia zaman dahulu, dari situ timbul idea menghidupkan lorong di sebelah galeri ini untuk kita adakan aktiviti seni dan tempat berkumpul sambil menikmati kopi dari kafe seni, Folk Kofii” katanya.
Jelasnya lagi, pihaknya amat berbesar hati dan terbuka untuk berkerjasama dengan mana-mana agensi, korporat dan Kementerian Pelancongan, Seni Dan Budaya untuk mengangkat Jalan Negara Kita sebagai ruang budaya dengan menyemarakkan lagi kecintaan terhadap seni dan lokasi pelancongan baharu.

“Kami juga menjemput artis grafiti untuk datang ke Jalan Negara Kita dan berkarya untuk kita lebih menghidupkan suasana disini.
“Pelbagai aktiviti telah kami rancang dan aturkan untuk galeri dan lorong ini, dan kami mengharapkan sokongan semua pihak datang ke sini menyokong usaha kami” ujarnya lagi.

Sebagai tambahan, pemeran Rahmat Bahagia ini masih berlangsung sehingga 30 September 2023 untuk pengunjung melihat lukisan dalam bangunan 3 tingkat dan diakhiri dengan Kopi Percuma dan Biskut Kering Gula yang mencetuskan memori silam. Para pengunjung turut dijemput menyertai pelbagai aktiviti seni kemasyarakatan yang disediakan.
