Kuala Lumpur – Dewan Perniagaan Muslim Insiders dengan bangganya bakal menganjurkan penganugerahan berprestij ‘Islamic Distinguished Entrepreneur’ (IDEA Award 2023) pada 3 November depan di Hotel St Regis Kuala Lumpur.
IDEA Award 2023 adalah bertujuan untuk mengiktiraf dan memberi penghargaan kepada usahawan Muslim yang telah mencapai tahap keunggulan luar biasa dalam pelbagai sektor ekonomi.
Tak ketinggalan juga meraikan pemilik perniagaan bukan Islam yang mengamalkan ciri-ciri ‘Muslim-friendly businesses’.
Acara yang bakal menjadi sorotan tahunan ini akan dihadiri dan dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kewangan 1, Yang Berbahagia Datuk Seri Ahmad Maslan sebagai tetamu kehormat serta barisan pemimpin konglomerat yang turut sama meraikan para usahawan Muslim terbilang.
Anugerah berprestij ini turut akan memberikan peluang kepada usahawan terbaik untuk menerima pengiktirafan yang mereka layak, dan pada masa yang sama, memperkukuhkan komuniti perniagaan Malaysia Madani.
Waqaf An-Nur, selaku peneraju institusi wakaf korporat yang bertindak sebagai pemangkin pembangunan industri kewangan sosial Islam turut sama bersinergi sebagai penerima wakaf manfaat dalam majlis penganugerahan berprestij ini.
Presiden Muslim Insiders, Profesor (Adj) Haji Adam Richman berkata anugerah ini cukup unik.
“Ini kerana ia tidak hanya mengiktiraf pencapaian dalam bidang perniagaan yang meliputi inovasi, kelestarian perniagaan, impak sosial, dan kepelbagaian, tetapi juga menilai kesediaan usahawan terbilang untuk mengabdikan dirinya kepada Allah SWT melalui perniagaan.
“Sekali gus dalam usaha memenuhi tuntutan fardhu kifayah dengan menyediakan perkhidmatan serta manfaat kepada seluruh masyarakat,” katanya.
