Kuala Lumpur – Bintang filem dan sinetron, Syakir Daulay ,21, kini bergelar pengarah dan penerbit apabila filem pertamanya berjudul Imam Tanpa Makmum akan disiarkan di seluruh pawagam Malaysia 30 November ini.
Anak kelahiran Aceh itu berkata, bukan mudah memegang 3 posisi dalam menghasilkan sebuah karya kerana banyak aspek perlu difikirkan bagi penghasilan filem yang terbaik.

Filem Imam Tanpa Makmum adalah sebuah filem bergenre romantik komedi terbitan produksi Indonesia, Syakir Pictures dengan kerjasama Onprima Studio.
“Sebagai penerbit, saya harus pastikan setiap kru dan pelakon dalam keadaan baik dan dalam masa sama juga penggambaran perlu berjalan seperti yang telah dijadualkan.
“Sementara di posisi pelakon, saya perlu beri sepenuhnya jiwa dan raga agar ia sampai kepada penonton, cukuplah setakat ini sahaja saya pegang begitu banyak tanggung jawab” katanya dalam sidang media selepas tayangan pra tonton di KLCC pada selasa.


Tambahnya, karya filem ini dihasilkan sebagai ruang untuk dirinya belajar menjadi pengarah dan persediaan untuk beberapa projek akan datang.
Syakir turut mengumumkan akan menghasilkan sebuah filem horror islamik kerjasama antara Indonesia-Malaysia pada tahun hadapan.
Sementara itu, Pegawai Eksekutif Onprima tudio, Mohd Shahir Sulaiman berkata kerjasama ini bagi membawa karya nusantara ke peringkat yang lebih tinggi terutama untuk filem yang mengetengahkan cara hidup dan tutur bahasa islam di Indonesia.
“Kebanyakkan filem-filem Indonesia lebih kepada horror dan sejarah, namun kurangnya filem berbentuk santai yang menunjukkan kehidupan islam lebih-lebih lagi di bahagian Sumatera dan Aceh, jadi filem Imam Tanpa Makmum ini melengkapi ciri-ciri yang dimahukan.
“Diharap kerjasama ini akan berterusan untuk projek yang akan datang dengan lebih banyek genre filem. Saya percaya kerjasama ini bukan sahaja memberi manfaat kepada penonton menerusi karya yang ditampilkan tetapi juga buat seluruh warga industri perfileman tanah air,” ujar Mohd Shahir.
Filem yang mengangkat tema nikah muda arahan Syakir Daulay ini agak berbeza daripada kebanyakan naskah dari negara seberang.

Filem yang menelan kos penerbitan sekitar RM1.4 juta itu dibintangi oleh Syakir Daulay, Cut Mini, Rayisa Nayla Salwa,Vonny Felicia, Mini Theo, Lukman Sardi dan Arif Brata.
Tonton filem ini di pawagam berdekatan anda!
