Kuala Lumpur – Kementerian Pelaburan Perdagangan dan Industri, MITI akan bekerjasama dengan Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia, PEKEMA dalam memperhalusi justifikasi untuk menaikkan tahap jumlah kenderaan import terpakai.
Jumlah kenderaan import terpakai setakat ini daripada 35,000 dicadangkan kepada 50,000 unit setahun.
Menurut menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, justifikasi tersebut juga perlu dibincangkan bersama Kementerian Kewangan berdasarkan data-data terkini yang diperoleh.
“Had kepada 50,000 unit dimohon untuk ditingkatkan kerana tahap yang ada sekarang sudah lebih 30 tahun dan tidak memberi gambaran apa yang telah berlaku dalam masa tahun ini.
“Kementerian akan memperhalusi dan akan bekerjasama dengan Pekema untuk mencari asas justifikasi kenapa tahap ini perlu dilihat semula.
“Jadi, kita akan buat keputusan berdasarkan data-data yang terkini dan pada masa sama, isu ini perlu dibincangkan dengan pihak MOF,” katanya.
Beliau ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PEKEMA KE-42 di Pusat Konvesyen Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Tengku Zafrul turut menyeru ahli Pekema untuk mengambil peluang daripada penambahbaikan garis panduan pelantikan syarikat permit import (AP) baharu untuk kenderaan elektrik (EV).
Kapasiti enjin setara melebihi 1,800 cc bagi kereta dan melebihi 250 cc bagi motosikal diberi pengecualian sementara untuk kenderaan EV yang diimport sepenuhnya (CBU) sehingga 31 Disember 2025.
Tambahnya, ahli perlu mengambil peluang ini untuk mengenalpasti dan mendapatkan hak sebagai pengimport eksklusif jenama-jenama EV terkenal untuk dibawa masuk dan dipasarkan ke Malaysia. Ini termasuklah perancangan dalam memasang secara tempatan (CKD) di Malaysia
Menurut Presiden PEKEMA, Datuk Mohamed Nazari Noordin, peningkatan kenderaan import tersebut akan memberi faedah kepada industri hiliran dan menambah penjanaan ekonomi melebihi RM2 billion setiap tahun, selain pertumbuhan dalam pasaran kenderaan negara.
