Kuala Lumpur – Ahli Parlimen Hulu Langat Mohd Sany Hamzan menyifatkan isu persempadanan semula bagi kawasan Parlimen di seluruh negara dilakukan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) adalah satu keperluan pada masa kini.
“Tiada apa yang rakyat perlu risaukan kerana persempadanan semula hanya melibatkan dua perkara yang perlu dikaji semula.
“Ini perlu kerana sesuatu kawasan menerima peruntukan yang sama dari kerajaan persekutuan, jika satu-satu kawasan itu mengalami kepadatan penduduk yang tinggi dibandingkan pula dengan kawasan berkepadatan rendah, berapa bantuan yang mampu diagihkan. Sudah pastilah kawasan berkepadatan tinggi akan menerima kekangan dari pembahagian peruntukan.
“Selain itu, seseorang ahli parlimen akan mengalami kesukaran dalam menjaga kawasan dengan jumlah penduduk yang tinggi” katanya dalam sidang media selepas merasmikan mesyuara agong tahunan Koperasi Peneraju Usahawan Berhad (KPUB) hari ini.
Beliau turut menyelar momokan dari parti Perikatan Nasional (PN) yang menakut-nakutkan rakyat dengan memainkan sentimen kaum dalam isu ini.
“Cuma saya nampak yang takut ini sebenarnya bukan rakyat tetapi kawan-kawan kita daripada PN sebab kerusi yang bertambah banyak ini di mana? Selangor, Negeri Sembilan, Johor, Pulau Pinang, Perak.
“Ini negeri-negeri yang Kerajaan Perpaduan menang. Takkan kita saja-saja nak tambah,” jelasnya lagi.
Dalam masa sama, beliau turut menjawab berkenaan isu sesetengah pihak yang mendakwa bahawa perubahan persempadanan pilihan raya akan memberi kelebihan kepada DAP dan memberi laluan kepada orang Cina untuk menjadi perdana menteri.
“Kalau kita tengok hari ini. Nak jadi perdana menteri perlu dapat dua pertiga majoriti di Parlimen. Kita ada 222, maksud perlu 112 (sokongan). Di kalangan 112 ini siapa yang layak jadi perdana menteri?
“Kita kena ingat di kalangan ahli parlimen DAP bukan semua Cina, Bentong saya tak tahu la dia Melayu atau Cina, Cina saya ingat. Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan (Johan) tu mungkin dia Cina? Dia Melayu.
Mohd Sany bersetuju agar persempadanan semula dan pertambahan kerusi Parlimen dilakukan.
“Zaman Datuk Seri Najib dahulu dia buat persempadanan baharu tidak tambah kerusi. Saya rasa sudah tiga kali pilihan raya tidak berlaku persempadanan baru pilihan raya dan juga tambah kerusi. Tetapi hari ini saya rasa perlu,” tegasnya.
