DSC06157

Kuala Lumpur – Novel seram terlaris “Banglo Seksyen 12” karya Hasrudi Jawawi kini menghantui layar perak sebagai filem seram terbaru yang diadaptasi oleh pelakon terkenal, Intan Ladyana. Diterbitkan oleh Buku Prima, novel ini menjadi pilihan utama Intan Ladyana untuk membawa pengalaman seram kepada penonton.

Pada sidang akhbar Malam Gala Tayangan Perdana Filem Banglo Seksyen 12 di Golden Screen Cinemas (GSC) Lalaport Bukit Bintang, Intan Ladyana mendedahkan bahawa pilihan untuk mengadaptasi novel seram ini bermula dari keinginannya untuk mencipta sesuatu yang terinspirasi daripada dunia novel. Beliau secara khusus memilih novel seram dari Buku Prima, sebuah kumpulan novel seram yang terkenal di pasaran. Dalam pilihannya, beliau tertarik kepada karya Hasrudi Jawawi yang diakui sebagai pengeluar novel seram terbaik.

Pengarah Bersama, Intan Ladyana

Dengan rekod prestasi mengagumkan Intan Ladyana dalam filem-filem seperti ‘Jangan Pandang Belakang’ dan ‘Banglo Berkunci’, Filem ‘Banglo Seksyen 12’ pasti membuatkan penonton terpinga-pinga di tempat duduk mereka. Dijadualkan untuk tayangan pada 25 Januari 2024, filem ini menandakan usaha pertama Intan Ladyana sebagai penerbit.

Diarahkan oleh Dharma Nasution, Filem Banglo Seksyen 12 menampilkan barisan pelakon berbakat yang dikenali dari industri perfileman Malaysia. Intan Ladyana sendiri disertai oleh Mustaqim Bahadon sebagai protagonis utama filem tersebut. Barisan pelakon ini diperkuatkan lagi dengan bintang yang sedang meningkat naik seperti Hariz Hamdan, Silfeny Osman, Aniq Suhair, Faez Malek, Farah Yasmin, Faris Fitri, dan ramai lagi.

Filem Banglo Seksyen 12 diterbitkan oleh Prisma Pictures Sdn Bhd, dengan kerjasama METROWEALTH, melalui Dana Kandungan Digital (DKD) yang diperolehi dari Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dibawah Kementerian Komunikasi dan Ekonomi Digital (KKD).

Prisma Pictures Sdn Bhd, syarikat produksi Intan Ladyana, menerima dana sebanyak RM500,000 untuk menghasilkan filem ini. Menurut kata Intan Ladyana, penghasilan filem ini dihadapi dengan pelbagai cabaran, terutamanya disebabkan oleh pandemik Covid-19 pada tahun 2020. Filem ini akhirnya berjaya ditayangkan selepas tiga tahun proses penggambaran.

SINOPSIS

Filem Banglo Seksyen 12 merungkai kisah mencengkam sekumpulan remaja yang dibunuh secara misteri di sebuah rumah banglo usang pada tahun 2006. Banglo usang ini sejak itu menjadi tempat kegemaran ahli paranormal, menggunakannya sebagai latar belakang kandungan digital mereka.

10 tahun kemudian, sekumpulan ahli paranormal terdiri dari 6 pelajar kolej kembali ke banglo tersebut bagi menghasilkan kandungan digital seram untuk saluran Youtube mereka. Semasa eksplorasi berlansung kesemua mereka telah hilang.

Apabila berita tentang kehilangan mereka menjadi tular, sekumpulan pengkaji paranormal professional telah pergi ke lokasi banglo tersebut untuk membantu. Setelah pencarian dilakukan, mereka berjaya menemukan Fahmi, satu-satunya pelajar kolej yang masih hidup

Dengan penemuan itu, satu demi satu rahsia dan identiti ghaib mulai terbongkar, membawa kepada pengalaman sinematik yang mendebarkan dan menegangkan, mengikuti rentetan misteri dan kisah seram yang berlaku di dalam banglo tersebut.

Jadi jangan lepaskan peluang untuk mengalami sendiri keseraman filem Banglo Seksyen 12, yang akan ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia mulai 25 Januari 2024.

Leave a Reply