KUALA LUMPUR – Belum pun memulakan tayangan rasmi di pawagam, filem KUDRAT 1968: High Council sudah mencipta fenomena tersendiri apabila berjaya meraih kutipan RM3 juta menerusi jualan tiket awal.
Pencapaian membanggakan itu membuktikan keterujaan luar biasa peminat terhadap filem berkenaan, khususnya selepas kejayaan siri premium KUDRAT 1968: High Council yang mencetuskan fenomena dan menjadi perbualan hangat di media sosial.
Menerusi perkongsian di akaun media sosial rasmi Astro Shaw, pihak produksi menzahirkan rasa syukur serta penghargaan kepada peminat yang terus memberikan sokongan padu terhadap karya tersebut.
“Alhamdulillah dan syukur untuk sokongan korang warga KUDRAT yang memang on top! Beli tiket korang sekarang dan jom kita bermanifesto!”
Sambutan hangat itu turut diterjemahkan menerusi jualan tiket Mega Fans Screening yang dijadualkan berlangsung pada 31 Oktober ini. Tiket acara berkenaan dilaporkan habis terjual dalam tempoh hanya lima minit, sekali gus memperlihatkan betapa tingginya penantian peminat untuk menyaksikan filem tersebut.
Menjelang tayangan di pawagam, perbincangan mengenai KUDRAT 1968: High Council semakin rancak apabila peminat terus berkongsi teori, spekulasi dan pelbagai pandangan mengenai watak-watak utama, khususnya Abbas dan Kuda. Persoalan mengenai hala tuju kedua-dua watak itu turut menambah keterujaan menjelang kemunculan filem berkenaan di layar perak.
Dibintangi Zarif Ghazzi, Mierul Aiman, Akmal Asyraf, Dai Fuad, Evertts Gomes dan Chech Harith, filem arahan Zulaikha Zakaria bersama Khairi Asyraff ini bakal membawa penonton menyelami konflik yang lebih besar dalam dunia High Council.
Dengan perebutan kuasa, persahabatan dan kesetiaan menjadi taruhan, filem ini dijangka mengembangkan lagi kisah yang telah mencetuskan pelbagai persoalan dalam siri premiumnya, sekali gus memberikan pengalaman baharu kepada peminat.
Selepas mengikuti perjalanan watak-watak berkenaan menerusi siri premium, kini penonton berpeluang menyaksikan sendiri bagaimana konflik yang semakin memuncak dan persoalan yang sekian lama menjadi tanda tanya bakal terungkai di layar perak.
Jangan lepaskan peluang menyaksikan KUDRAT 1968: High Council yang bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara mulai esok, 29 Oktober 2026.
