KUALA LUMPUR – Seramai 20,000 peserta disasarkan akan menyertai program Perarakan Perpaduan (Unity Parade) Kuala Lumpur 2024 bermula 24 hingga 25 Februari nanti.
Program tersebut akan melibatkan 22 kaum dan etnik negara dengan lebih 10 pengisian program dan aktiviti kemasyarakatan.
Penasihat Unity Parade, Norrizan Abdul Majid memberitahu fokus utama penganjuran program itu adalah untuk pemeliharaan budaya, pendidikan dan penglibatan masyarakat dalam memupuk semangat perpaduan.
“Dari Perlis hingga ke Sabah kita akan bawa mereka ini sama-sama berarak, memberikan satu solidariti, satu perpaduan, mengangkat kata-kata Perdana Menteri.
“Anak kita Cina, anak kita Iban anak kita India, kita satukan mereka dalam perarakan ini,”katanya.

Beliau bercakap dalam sidang media acara Perarakan Perpaduan Kuala Lumpur 2024 di Ibu Kota.
Program yang dianjurkan selama dua hari itu merupakan anjuran bersama antara Unity Parade dan KL Society bersama rakan strategik Kementerian Perpaduan Negara (KPN).
Acara perarakan itu akan bermula pada 5 petang di Dataran Merdeka membabitkan lima hentian utama iaitu Pasar Seni, pusat beli-belah komuniti kreatif GMBB, Jalan Alor, pusat beli-belah Lot 10 serta Berjaya Times Square dan berakhir di Lalaport BBCC.
“Perarakan ini akan menampilkan pelbagai keunikan elemen seni dan budaya masing-masing seperti persembahan kebudayaan, aktiviti dan pakaian tradisional serta kenderaan berhias,” ujarnya lagi.
Norrizan berkata acara itu dibuat sebagai menyahut seruan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahukan rakyat Malaysia turut memainkan peranan ampuh dan berterusan dalam memelihara keamanan, kerukunan serta semangat bersatu padu.
Beliau berharap Unity Parade Kuala Lumpur 2024 yang akan menampilkan lebih 10 aktiviti kebudayaan dan kemasyarakatan antaranya Unity Parade Kuala Lumpur Photo Competition dan Unity Parade Village sepanjang dua hari program itu akan dijadikan acara tahunan bagi mempromosi sektor pelancongan di ibu kota.
Bagi mereka yang berminat mengenai acara yang akan dijalankan atau ingin menyertai acara perarakan itu boleh mendaftar secara percuma di laman sesawang rasmi di unityparade.my.
