23c4bd52-60fc-4052-bb72-e708e7aa16b5

Petaling Jaya – Setelah lama menyepi dari dunia hiburan, Pierre Andre telah mencetuskan tanda tanya ramai peminatnya. Beliau yang tidak berlakon malah mengarah lagi sering disebut-sebut adakah benar telah berundur dari karier seninya malah ada pihak yang mendakwa beliau merajuk dengan industri.

Bagaimanapun, dia kini kembali mengarahkan filem sekuel seram berjudul Jangan Pandang Belakang 2 “Aku Tahu Asal Usulmu”.

Antara pelakon filem ini ialah Emma Maembong, Iedil Dzuhrie Alaudin, Mawar Rashid, Alif Hadi, Khatijah Tan, Ruminah Sidek dan Cat Farish.

“Saya tahu 17 tahun adalah tempoh yang lama untuk buat semula filem Jangan Pandang Belakang 2. Insya Allah, saya ada identiti saya sendiri sebagai seorang pengarah.

“Banyak filem lain yang sebelum ini dihasilkan menggunakan Jangan Pandang Belakang. Misalnya, filem parodi Jangan Pandang Belakang Congkak. Filem seperti itu lebih mudah dibuat. Tapi untuk filem yang original seperti Jangan Pandang Belakang 2 ini, ia lebih susah.

“Perlu juga saya jelaskan di sini, untuk projek filem Jangan Pandang Belakang ini, saya mula terlibat ketika 80 peratus skripnya sudah pun disiapkan dan saya hanya membuat penambahbaikan untuk baki sebanyak 20 peratus sahaja,” katanya.

Difahamkan, beliau yang menjadi pilihan pertama penerbit kerana meyakini pemilik idea asal dan penulis skrip filem fenomena ini dapat menghidupkan kembali babak seram yang lebih natural kerana beliau sendiri memiliki kelebihan melihat dan merasai perkara mistik.

Jelasnya lagi, andai dia menggunakan pendekatan sama dengan Ahmad Idham dalam Jangan Pandang Belakang, dia bimbang ia akan menjadi lapuk atau ketinggalan zaman.

“Dalam cerita hantu yang penting bukanlah hantunya semata-mata. Tapi juga garapan moodnya. Macam mana kita nak bina lakonan, tata cahaya dan kerja kamera.

“Dari situ baru kita boleh bentuk rasa yang seram. Barulah ada kemunculan hantu-hantu tapi ia tidak perlu ditunjukkan secara terus, Kena tunjuk sikit-sikit. Baru okay,” katanya lagi.

Penerbit filem, David Teo menjelaskan keputusan menerbitkan Jangan Pandang Belakang 2 ini selepas dirinya mengalami pengalaman mistik dan ingin berkongsi kepada penonton.

“Selepas mengalami pengalaman mistik sendiri, saya mendapat ilham berkongsi dengan penonton dan jadikan filem Jangan Pandang Belakang (2007) sebagai platform penceritaan dengan harapan dapat dijadikan sekuel dan gelombang seperti 17 tahun dahulu” katanya.

Filem itu memulakan penggambaran bermula hari ini. Dalam perkembangan lain, MIG juga menyiapkan penggambaran dan menunggu tarikh tayangan bagi empat filem, iaitu Cheongsam Merah Darah, Ngesot, Citra Apartment dan Pontianak 200kg. 

Untuk record, Filem Jangan Pandang Belakang pernah mencatat fenomena filem terseram di Malaysia pada tahun 2007 dimana filem ini telah menempa sejarah dalam industri perfileman negara setelah mendapat kutipan tiket filem melayu tertinggi di Malaysia sebanyak RM6.33 Juta dan kutipan mencecah  RM7.4 Juta dan telah merangkul anugerah BOX OFFICE dalam Festival Filem Malaysia ke-20. 

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading