Gombak – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari memberi jaminan pentadbiranya akan terus memberi keutamaan kepada kesejahteraan dan kebajikan rakyat berbilang kaum dan agama di negeri itu.
Jelasnya, Kerajaan Negeri Selangor akan terus berpegang kepada dasar bertoleransi kepada semua kaum dan agama dan bersifat lebih menyeluruh.

“Saya berjanji selagi mana kita memerintah negeri ini, semua orang dalam negeri kita akan dijamin hak hak mereka untuk praktik kepercayaan agama masing masing,” katanya.
Dalam masa sama, beliau turut berkongsi, Selangor mencatat sejarah apabila menyumbang sebanyak lebih 25.5 peratus kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara pada tahun lepas.
Katanya kejayaan itu merupakan pertumbuhan paling tinggi dan sumbangan tertinggi Selangor kepada KDNK negara sejak Pakatan Harapan diberi amanah mentadbir negeri tersebut pada 2008.
Kerajaan Selangor yakin kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim mampu membawa hala tuju yang jelas kepada negara melibatkan pelbagai kaum untuk bermuafakat membina Malaysia yang lebih baik.
“Pencapaian prestasi pertumbuhan ini dapat menjamin kemakmuran Selangor sebagai gedung ekonomi Malaysia dan menjadi paksi kepada kestabilan pentadbiran serta kesejahteraan rakyat,” ujarnya lagi.

Beliau yang berucap pada majlis sambutan Tahun Baru Cina Parlimen Gombak 2024 itu turut berharap semua rakyat negeri ini bersatu padu dan yakin dengan pentadbiran Kerajaan Persekutuan yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilihat membawa perubahan serta impak positif dalam kesejahteraan kaum, pendidikan, ekonomi dan pembangunan.
Majlis diserikan lagi dengan kehadiran Yang Berhormat Puan Juwairiya binti Zulkifli, Penyelaras Dun Hulu Kelang; YAD. Tan Sri Dato’ Paduka Raja Dato’ Hj. Wan Mahmood bin Pa’wan Teh, Orang Besar Daerah Gombak dan Pn Nor Azlina binti Abdul Aziz, Pegawai Daerah Gombak dan Dr. Ani binti Ahmad, Yang Dipertua MPAJ.
Sambutan diadakan di Pusat Konvensyen MPAJ, Taman Melawati dan disajikan dengan pelbagai persembahan dan diadakan pemberian angpow.
