MRXT6126

Kuala Lumpur – Menjelang bulan Ramadan yang dijangka disambut seluruh umat islam pada 12 Mac ini, stesen TV Al Hijrah tampil menyajikan pelbagai program menarik buat penonton setianya.

Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) melalui TV AlHijrah tentunya akan sentiasa berusaha memberikan pengisian terbaik kepada rakyat Malaysia apabila tibanya bulan Ramadan.

Dengan tema “Ramadan Mentadabbur Keindahan”, pasukan penerbitan TV AlHijrah telah menyusun program-program yang mendidik jiwa dengan ilmu, dakwah dan hikmah. Usaha murni ini mengajak masyarakat untuk memanfaatkan Ramadan sebagai bulan yang berkat untuk mengejar ganjaran Allh SWT sebagaimana gambaran yang terakam dalam Surah ArRahman.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menyeru kepada semua pihak khususnya para penonton untuk bersama-sama melipat gandakan doa dan munajat agar terus dikurniakan nikmat iman, islam serta dijauhkan dari sifat kesombongan diri.

Jelasnya lagi, para penonton juga harus cakna dan mengambil tahu isu-isu kemanusiaan serta kasih sayang dalam usaha untuk terus menyebarkan keindahan dalam kehidupan. Peranan TV AlHijrah sebagai salah sebuah agensi hal ehwal Islam di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) untuk memberikan pendidikan kemasyarakatan kepada masyarakat agar saling berkasih sayang serta bantu membantu sepanjang bulan mulia ini.

“Adalah menjadi hasrat Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) untuk terus melihat stesen TV AlHijrah sebagai sebuah stesen terulung dalam menyebarkan nilai-nilai Islam yang rahmah serta mesej-mesej Kerajaan khususnya agenda Membangun Malaysia MADANI.

“Syukur Alhamdulillah, berkat kerja kuat serta kesungguhan seluruh warga TV Alhijrah, stesen ini sentiasa mendapat kepercayaan tinggi rakyat” katanya.

Bulan Ramadan pastinya mencatatkan peningkatan jumlah tontonan di stesen TV AlHijrah. Sebagai contoh, pada Ramadan 2023 yang lalu, jumlah tontonan di stesen TV AlHijrah adalah sebanyak 6.4 juta tontonan. Bagi tahun ini, sasaran peningkatan tontonan meningkat sebanyak 10 %, melonjak kepada 7 juta tontonan sepanjang Ramadan tahun ini.

Pada Ramadan tahun ini, TV AlHijrah akan menyiarkan sebanyak 22 rancangan Istimewa Ramadan disajikan buat penonton. Pecahannya adalah 20 rancangan penerbitan dalaman dan syndicated seperti Ape Cerita Kome bersama Ustaz Dato’ Mohd Kazim Elias, Ihya Ramadan, Ibrah, Camca, Sembang Moreh, Peristiwa Ramadan, Ayat Riwayat Risalah Anbiya dan banyak lagi. Manakala, 2 Program terbaik branded content adalah Ehsan.

Sebanyak 308.5 jam diperuntukkan untuk menayangkan kesemua rancangan-rancangan ini dengan peningkatan 17.8% jam siaran berbanding tahun lalu. Buat pertama kalinya, TV AlHijrah akan menyiarkan drama bersiri Arab yang memaparkan kisah perjalanan hidup seorang daripada empat tokoh imam mujtahid masyhur yang membangunkan empat mazhab fiqah terbesar dalam Islam iaitu Imam Al-Shafie. Drama Risalah Imam Al-Shafie ini akan disiarkan sebanyak 30 episod siaran, setiap hari, jam 6 petang.

Dua filem terbaik Ramadan yang akan ditayangkan adalah Imam dan Perjalanan Pertama. Filem Imam adalah filem tempatan yang diterbitkan pada tahun 2023 arahan Mior Hashim Manap yang merupakan adaptasi novel bertajuk sama oleh novelis, Sasterawan Negara Abdullah Hussain, yang pertama kali diterbitkan pada 1995.

Dalam usaha memastikan anak-anak muda digerakkan agar memahami dan menghayati alQuran, TV AlHijrah memperuntukkan 141 jam siaran, bagi menyiarkan 4 rancangan Istimewa bernadakan kalam suci Ilahi. Rancangan -rancangan tersebut adalah Syahadah al-Furqan, Khatam Perdana, Tadarus Quran@114 dan Kapsul Taranum Challenge.

Dalam masa sama, TV AlHijrah turut merasmikan Keretapi ETS yang lengkap dengan pengiklanan kesemua programnya selama setahun. Ini adalah sebagai rangka promosi dan membawa stesen televisyen ini lebih dekat dengan masyarakat.

Majlis perasmian Pelancaran Program Ramadan Mentadabbur Keinndahan TV AlHijrah turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah Tuan Haji Namanzee Harris dan Pengerusi TV AlHijrah, Mohd Khair Ngadiron .

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading