128aec3c-4713-4d7f-8569-6319c3b705c3

Kuala Lumpur – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan meneruskan usaha perkukuhkan tatakelola bagi memberikan khidmat terbaik kepada masyarakat menjelang sambutan Hari Polis ke-217 tahun ini.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata PDRM akan memperkemas tatakelola pasukan di setiap peringkat dan jabatan dalam memantapkan lagi imej dan perkhidmatan kepada masyarakat.

“Insya-Allah kita akan memperkemaskan lagi tatakelola dan sebagainya untuk memastikan kita dapat memberikan khidmat yang terbaik kepada masyarakat.

“Memanglah ada sedikit kekurangan di sana sini…itu biasa, kita akan perbaiki kelemahan ini dan kita berikrar untuk beri khidmat terbaik kepada masyarakat,” katanya.

Hari Polis Ke-217 akan disambut pada 25 Mac ini dengan mengekalkan tema ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’.

Turut hadir Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dan Pengerusi Maahad Tahfiz Al-Faridiyah yang juga Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma), Datuk Jawahar Ali Taib Khan.

Seramai 2,500 individu terdiri daripada asnaf dan mereka memerlukan di kawasan sekitar menerima sumbangan yang disampaikan Ayob.

Beliau berkata demikian dalam sidang media pada Majlis Iftar dan Penyampaian Sumbangan Hari Raya Aidilfitri di Maahad Tahfiz Al-Faridiyah di sini, hari ini anjuran Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA).

Dalam pada itu, Ayob menzahirkan penghargaan kepada PRESMA atas inisiatif mereka menganjurkan majlis berkenaan bagi merai dan memberikan sumbangan kepada golongan memerlukan.

“Besar harapan saya semoga dengan sedikit sumbangan ini dapat memberi keceriaan kepada penerima sebagai persediaan menyambut ketibaan Syawal,” katanya.

Sementara itu, Jawahar berkata, majlis sumbangan yang diadakan sejak 1994 itu bertujuan meringankan beban penerima terutama menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.

Beliau berkata, sebanyak 23 jenis barang keperluan disumbangkan kepada penerima menerusi sistem imbas kod QR bagi memudahkan urusan penyerahan.

“Program ini adalah kesinambungan Majlis Akad Nikah Rahmah yang dianjurkan pusat pengajian ini dengan kerjasama beberapa agensi termasuk Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) baru-baru ini.

“Dengan adanya bantuan ini, diharapkan penerima akan dapat menyambut hari raya dengan penuh makna dan kesyukuran,” katanya.

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading