27dedba3-9196-4af5-a0b8-d9ec6163d82c

Semenyih – Mempunyai beberapa cawangan di sekitar Lembah Klang, ST Rosyam Mart memperluaskan lagi pasar rayanya dengan membuka satu lagi cawangan di Semenyih.

Cawangan keenam tersebut yang berkeluasan 37,000 kaki persegi itu merupakan antara cawangan kedua terbesar selepas Shah Alam dirasmikan malam tadi dengan penuh meriah.

Menurut Ahli Lembaga Pengarah, Datuk Rosyam Nor, cawangan berkenaan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan dan keselesaan untuk para pelanggan merasai sendiri ruangan tempat membeli-belah yang lebih luas serta moden itu.

“Alhamdulillah, persediaan membuka cawangan baru di Semenyih hanya mengambil masa sebulan lebih sahaja dan pembukaan ini juga adalah memenuhi permintaan orang ramai.

“Kami menerima banyak permintaan dari seluruh negara yang meminta ST Rosyam Mart dibuka dikawasan mereka, namun pihak kami perlu meneliti dan mencari lokasi yang sesuai.

“Selepas Semenyih, InsyaAllah satu lagi cawangan akan dibuka di Senawang pada 31 Ogos nanti” katanya dalam sidang media selepas majlis perasmian.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sri Ternak, Datuk Raymond Ho berkata, sempena pesta pembukaan cawangan baru ini berlangsung selama enam hari enam malam sehingga 31 Mac depan, pelbagai promosi menarik diadakan bagi meraikan warga Semenyih dan sekitarnya.

“Kami gembira merikan orang ramai disini dengan menawarkan harga ayam mentah serendah 88 sen sahaja.

“Selain itu, ada banyak lagi promosi harga serendah 8 sen ditawarkan mengikut hari, orang ramai perlu merujuk katalog yang disediakan untuk merancang pembelian” jelasnya.

Orang ramai yang ingin membeli pada harga promosi wajib mendaftar kad keahlian ST Rosyam Mart dengan yuran sebanyak RM10 setahun. Sehingga kini, seramai 150,000 ahli berdaftar telah dicatatkan.

Terdahulu, ST Rosyam Mart mencatatkan pembukaan 6 cawangan antaranya di Setiawangsa, Shah Alam, Sungai Buloh, Sri Kembangan, Taman Ehsan dan Semenyih.

ST Rosyam Mart turut diberi pengiktirafan Malaysia Book of Record (MBOR) pada tahun 2022 sebagai pasaraya runcit pertama dibuka 24 jam tanpa cuti selama 365 hari dalam setahun.

Bukan itu sahaja, ST Rosyam Mart turut memberi peluang kepada para selebriti tempatan dan usahawan kecil PKNS untuk berniaga dengan menyediakan sudut khas buat mereka menjual produk masing-masing.

Antara selebriti tempatan yang mengambil bahagian di Celebrity Corner ialah Wak Doyok, Tyzo Xander, Prince Syed, Shah THR, Suki Low, Ako Mustafa, Angah Raja Lawak, Munif Hijjaz, Azza Elite, Asmidar dan pengarah Rashid Sibir.

Bertemakan slogan ‘Berbelanja di ST Rosyam Mart, Dompet Abang Selamat’, rangkaian pasar raya moden itu juga memperkenalkan konsep produk mudah cari merangkumi barangan basah dan kering di bawah satu bumbung.

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading