Putrajaya – Seramai 45 orang anak yatim dari Pertubuhan Warisan Suci, Kajang diraikan oleh pusat beli belah Alamanda untuk membeli-belah persiapan Hari Raya.
Sebagai sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR), program ini merupakan acara tahunan bagi berkongsi rezeki kepada yang kurang bernasib baik.
Pengurus Besar Pusat Beli Belah Alamanda, Junaidy Jamaludin berkata pihaknya sentiasa berbesar hati membantu agar anak-anak yatim ini dapat merasa kegembiraan beraya nanti.
“Alamanda merupakan pusat beli belah yang lengkap untuk membeli kelengkapan raya, jadi kami ingin berkongsi rezeki disamping mengembirakan anak-anak ini.” katanya.

Pihak pengurusan Alamanda memberi peluang kepada anak-anak tersebut membeli-belah sepasang kasut raya dan baju raya. Majlis menjadi lebih bermakna apabila kanak-kanak tersebut diberikan duit raya.
Dalam masa sama, anak-anak yatim tersebut turut diberi peluang memiih juadah berbuka puasa yang diinginkan di restoran Secret Recipe.
Menurut Pengarah Eksekutif Suria KLCC Sdn Bhd, Francis Tan, pihaknya memainkan peranan penting dalam melibatkan diri dan menyokong masyarakat secara aktif, terutamanya kanak-kanak yang tidak bernasib baik.
“Walaupun beraya di samping rakan-rakan dan keluarga adalah penting, kita mesti sentiasa mengingati bahawa tidak ramai yang mempunyai keistimewaan ini. Sehubungan itu, kami berbesar hati untuk berkongsi kemeriahan Hari Raya bersama anak-anak Pertubuhan Warisan Suci” tambahnya.

Ujar Pengurus Pertubuhan Warisan Suci, Puan Siti Khadijah Nadzri pula, sebagai penjaga kepada anak-anak, mereka berterima kasih kepada Pusat Beli Belah Alamanda kerana telah memberikan kegembiraan kepada anak-anak ini dan memberi mereka peluang menyambut bulan Syawal dengan penuh kegembiraan.
Pertubuhan Warisan Suci ialah rumah kebajikan yang menyediakan tempat perlindungan kepada kanak-kanak yang memerlukan terutamanya anak yatim.
