IMG_20240407_225637_1

Kuala Lumpur – Pengguna Kereta Api Tanah Melayu Berhad (KTMB) bakal menikmati tawaran istimewa bagi perjalanan pergi dan balik, ke atau dari stesen-stesen terpilih KTMB jika menggunakan perkhidmatan e-hailing MyCar.

Satu kod promo bakal dilancarkan dan boleh digunakan di semua perkhidmatan KTMB, iaitu KTM Komuter dan KTM Intercity (ETS).

Ketua Eksekutif MyCar, Datuk Noor Sheena Mohd Maiden berkata, pihaknya telah lama berkerjasama dengan KTMB dan usahasama ini masih diteruskan lebih-lebih lagi di musim perayaan.

“Aplikasi MyCar yang baru telah dilancarkan di Playstore hampir dua bulan dan setakat ini jumlah pemandu mencapai 60,000 orang dan diharap ia akan meningkat dari masa ke semasa.

“Oleh itu, pelbagai promosi akan dijalankan dan salah satunya adalah kod promo untuk penumpang yang ingin ke mana-mana stesesn KTM dan kolaborasi bersama KTMB dapat melonjakkan jenama MyCar sebagai syarikat e-hailing Bumiputera setanding perkhidmatan e-hailing yang lain dalam negara” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB, Datuk Mohd. Rani Hisham Samsudin berkata, Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) menyediakan sebanyak 15,120 tiket tambahan termasuk tren ekspres, dengan menawarkan 1,260 tiket sehari sempena sambutan Aidilfitri.

“Tambahan tiket tersebut turut melibatkan enam perkhidmatan tren elektrik (ETS) dari 4 April hingga 15 April, menjadikan keseluruhan tiket ETS yang ditawarkan termasuk tren biasa dan tambahan adalah 135,000 tiket.

“Khusus buat mereka yang akan pulang ke Pantai Timur, KTMB turut menyediakan dua perjalanan tren khas Ekspres Lambaian Aidilfitri (ELA) pergi dan balik yang akan beroperasi dari Stesen KL Sentral ke Stesen Tumpat dan sebaliknya.

“Sebanyak 952 tiket ditawarkan untuk perkhidmatan khas ini,”ujarnya.

Tambahnya lagi, tahun ini mencatat peningkatan penjualan tiket sehingga 95% bagi pengguna KTM khusus untuk balik kampung sempena cuti hari raya Aidilfitri.

Terdahulu, MyCar dan KTMB masing-masing menghulurkan 1000 cenderahati kepada penumpang Ekspres Lambaian Aidilfitri (ELA) di KL Sentral malam tadi.

Keretapi ELA tersebut berlepas pada jam 11 malam dari KL Sentral dan akan tiba di Tumpat pada jam 4.30 petang pada Isnin.

Leave a Reply