Kuala Lumpur – Platform perdagangan sosial terbesar di Malaysia, BizApp terus berkembang dengan menyasarkan peningkatan seramai 3,000 pengguna baharu terdiri di kalangan usahawan sehingga hujung tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif, BIZAPP VENTURES SDN BHD, Mohd Taib Pardi berkata, peningkatan itu selaras kejayaan aplikasi itu membantu 700,000 pengguna sejak mula dilancarkan.
“Buat masa ini seramai 50,000 pengguna aktif dikenal pasti dan sasaran pengguna baru dikenal pasti terutama usahawan pinggir bandar dan luar bandar untuk mengembangkan perniagaan dalam talian bagi mencapai jualan yang tinggi.
“Sejak diperkenalkan pada 2016, pengguna BIZAPP terus berkembang dengan nilai transaksi kasar (GMV) sebanyak RM3.8 bilion.
“Justeru menerusi perkembangan pesat dunia perniagaan hari ini, BIZAPP mengorak langkah menawarkan sistem dalam talian yang dikenali sebagai Bizappay dalam usaha mempromosikan kaedah menerima dan membuat pembayaran perniagaan secara dalam talian.

“Ini terbukti mampu membantu para peniaga menerima pesanan sepanjang 24 jam tanpa henti dan pada masa yang sama ia turut membantu usahawan terhindar daripada penipuan (scammer).
“Melalui kaedah tersebut, para peniaga luar bandar turut berpeluang mendapat kemudahan dan keselamatan yang sama,” katanya dalam sidang media selepas majlis penyampaian hadiah kempen ‘Go Cuba Bizappay with FPX’ di sini hari ini.
Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif Goreng Pisang Crispy (GPC) Network Sdn Bhd, Hairul Hafizi Johari muncul sebagai pemenang utama sebuah kereta Perodua Axia dan cabutan bertuah, sebuah telefon pintar Iphone 14.
Kempen ‘Go Cuba Bizappay with FPX’ yang dilancarkan tahun lalu disokong dan ditaja oleh Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) serta berkolaborasi bersama CommercePay (CAP) tersebut merupakan satu inisiatif pendedahan pembayaran digital kepada komuniti pinggir bandar dan luar bandar.
Inisiatif tersebut yang berlangsung selama lima bulan bermula 15 September 2023 hingga 15 Februari lalu secara strategik bertujuan mengubah pengguna BIZAPP daripada kaedah konvensional dan deposit tunai manual di mesin ATM kepada yang diperkemas seperti kemudahan FPX tanpa tunai.

Menerusi kempen, para peserta berpeluang memenangi hadiah menarik termasuk sebuah kereta Perodua Axia dan enam unit telefon pintar jenama iPhone 14 dengan jumlah keseluruhan bernilai RM70,000.
Sebanyak 3,000 penyertaan dan daripada jumlah tersebut sebanyak 20 buah syarikat telah disenarai pendek dan hanya tujuh syarikat yang terpilih ke peringkat akhir dan menerima hadiah melalui cabutan bertuah.
“Kesemua peserta telah diadili mengikut kriteria yang ditetapkan dan sepanjang kempen berlangsung, kami bukan sahaja memberi sokongan kepada peniaga-peniaga baharu yang hendak mencuba Bizappay tetapi turut menanggung kos transaksi FPX sebanyak RM1 kepada mereka,” tambahnya lagi.
Turut dihadiri Ketua Pegawai Teknologi Bizapp Ventures Sdn Bhd, Hasnol Mizam, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Commerce Asia, Ganesh Kumar Bangah, Pengarah CommercePay dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Commerce Asia, Kuna Kathigesan dan Pengarah Kanan Komersial PayNet, Azrul Fakhzan Mainor.
