Kuala Lumpur – Ni Hsin Group Bhd menerusi Ni Hsin EV Tech Sdn Bhd hari ini melancarkan motosikal elektrik berkuasa tingginya iaitu TC Max dan CPX Pro.
Motosikal yang dikeluarkan Nanjing Vmoto Manufacturing Co Ltd (VMOTO) dan dipasang di Malaysia merupakan pembekal global terkemuka bagi kenderaan dua roda elektrik yang menawarkan model reka bentuk Eropah dengan teknologi berkualiti tinggi dan mampan.
Model TC Max merupakan e-motosikal yang sesuai untuk laluan bandar dengan pengendalian dan pecutan yang sangat baik manakala CPx Pro mempunyai motor 8kW yang mampu mencapai kelajuan 105 km/j, menjadikannya kenderaan yang selamat untuk kegunaan harian.
Kedua-dua model ini menawarkan pilihan penyesuaian seperti siren dan sistem radio yang menjadikannya sesuai untuk unit penguatkuasaan polis, tentera dan pasukan keselamatan.

Pelancaran model motosikal yang berlangsung di The Starhill, Bukit Bintang itu turut menampilkan juara Ke dunia MotoGP lima kali yang juga Duta VMOTO, Jorge Lorenzo.
TC Max, CPX Pro yang dibekalkan dengan kuasa bateri masing-masing 72V dan 60V dilihat bakal menjadi pencabar kepada saingan jentera EV dua roda tempatan.
Bagi CPX Pro, ia didatangkan dengan empat warna pilihan dengan kuasa cas bateri hanya sekitar 3.5 jam.
Manakala bagi TC Max pula hadir dengan tiga warna dipadankan dengan pengecas 83V yang mampu mengecas dalam tempoh 4.5 jam.
Peminat motorsikal EV tempatan boleh memilih antara dua jentera ini yang mana TC Max mempunyai berat 101 kilogram (kg) manakala CPX Pro pula ialah 143 kg.
Dalam pada itu, Naib Presiden Jualan dan Pembangunan Perniagaan Ni Hshin EV Tech, Syazril Amri Abdul Rahman berkata, peminat motosikal EV boleh mengambil peluang skim galakan penggunaan motosikal elektrik, Mariicas yang membolehkan mereka yang layak mendapat rebat RM2,400 bagi pembelian motosikal elektrik.
Menurut beliau, selain rebat berkenaan, pihaknya juga akan menawarkan diskaun kepada pembeli awal bernilai RM1,000.

Pengarah Urusan Ni Hsin EV Tech, Khoo Chee Kong berkata, pihaknya teruja untuk bekerjasama dengan VMOTO bagi memperkenalkan kenderaan lektrik termaju mereka di Malaysia.
Beliau berkata, pihaknya juga berhasrat untuk mengubah mobiliti bandar dan menyumbang kepada masa depan yang lebih mesra dan pintar.
“Dalam konteks mobiliti mampan Ni Hsin tidak berhenti untuk menggalakkan penggunaan pengangkutan sifar pelepasan di seluruh Malaysia,” katanya dalam sidang media hari ini.
Pengarah Urusan VMOTO, Charles Chen berkata, pihaknya teruja memperkenalkan motosikal elektik keluaran mereka di pasaran Malaysia dengan kerjasama Ni Hsin EV Tech.
“Misi kami adalah untuk menyediakan rumsan mobiliti berprestasi tinggi mesra alam yang meningkatkan kehidupan orang ramai dalam persekitaran bandar,” katanya.
