Kajang – Koperasi berupaya menjadi wadah untuk membantu rakyat memperbaiki dan meningkatkan taraf hidup melalui aktiviti perkumpulan. Pembabitan anggota dalam aktiviti koperasi mampu meningkatkan pendapatan mereka, sekali gus menjana pendapatan negara.
Pengerusi Seminar Kebangsaan Fiqh Muamalat dan Kewangan Islam (SKFMKI 2024), Ainual Azhar Jasmi berkata, fokus koperasi adalah membangunkan ekonomi anggota dari segenap lapisan masyarakat yang terdiri daripada individu dan keluarga mereka.
“Peranan koperasi ini dapat dirasai secara menyeluruh kerana manfaatnya merangkumi pelbagai aspek.
“Koperasi seharusnya memainkan peranan dalam memantapkan dan memperkasakan lagi sistem muamalat dan kewangan Islam di negara ini.
“Kerjasama dan sinergi tiga entiti iaitu JKPK Selangor, PUMSel serta Fakulti Pengurusan dan Muamalah, UIS akan dapat menjadi satu gabungan yang kuat untuk membantu memberi apa sahaja alternatif jalan penyelesaian kepada penambahbaikan perjalanan sistem kewangan Islam di negara ini.

Beliau yang ditemui ketika Seminar Kebangsaan Fiqh Muamalat dan Kewangan Islam (SKFMKI 2024) anjuran Koperasi Muslimin Malaysia Berhad (KMMB) dan Persatuan Ulama Malaysia dengan kerjasama Fakulti Pengurusan dan Muamalah, Universiti Islam Selangor (UIS).
Bertemakan ‘Kelestarian Kewangan dan Kesejahteraan Ekonomi Ummah’ adalah bagi menyediakan peluang dan landasan terbuka kepada para ilmuan, penyelidik dan pemain industri kewangan Islam dan koperasi untuk membincangkan penemuan kajian mereka, membentangkan dapatan serta mengenalpasti solusi kepada permasalahan ekonomi yang dihadapi ummah.
“Usaha memperkasa peranan koperasi sebagai medan perkongsian maklumat dalam kalangan ahli serta membina rangkaian dengan pengusaha pelbagai latar belakang dan cabang perniagaan dari dalam atau luar negara perlu dikembangkan.
“Ramai yang belum faham perbankan Islam serta peranan koperasi itu sendiri dalam membantu pengurusan kewangan dan meningkatkan ekonomi kita.
“Kita lebih tertarik dengan sistem kewangan konvensional namun kewangan islam itu sendiri meliputi pelbagai aspek dalam pemerkasaan ekonomi” jelasnya lagi.
Tambahnya, di Malaysia mempunyai lebih 15,000 Koperasi dengan jumlah 7 juta ahli. Koperasi Muslimin memiliki seramai 40,000 ahli dengan prospek perniagaan pelbagai sektor antaranya; perladangan kelapa sawit dan perumahan.
Selain itu, menurut Timbalan Pengarah Seminar Kebangsaan Fiqh Muamalat dan Kewangan Islam 2024, Dr. Norfaizah Othman, seminar berkenaan membuka ruang kepada peserta dan pembentang untuk berdialog dan saling berkongsi idea bagi memperkasakan koperasi dan memajukan ekonomi ummah.
“Saya berharap melalui platform ini ia dapat memberi ruang perkongsian ilmu dalam menjana dan memperkasakan sistem ekonomi Islam secara mampan dan bersepadu.
“Selain itu, para pensyarah dapat meningkatkan jaringan dan kerjasama bersama pihak industri, NGO serta komuniti dan seterusnya dapat mempromosikan UIS di peringkat global.
“Seminar ini diharapkan dapat membuka minda para cendekiawan di luar sana untuk terus memahami dan mengaplikasi kewangan Islam dalam kehidupan seharian. Diharapkan dengan pelaksanaan program seminar ini dapat memberi manfaat yang besar kepada umat Islam” katanya dalam sidang media.

Antara pembentang yang membentangkan kertas kerja mereka ialah Prof. Madya Datuk Dr. Luqman Abdullah (Mufti Wilayah Persekutuan), Dr. Md. Nurdin Ngadimon (Penasihat Syariah KMMB), Prof. Dr. Azman Mohd. Noor (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, UIAM) dan Mohd Nazri Chik (Ketua Pegawai Kewangan Sosial Kumpulan, Bank Islam Malaysia Berhad, BIMB), dan Prof. Madya Dr. Nurazmallail Marni (Pengerusi KMMB).
Manakala sesi forum pula membariskan tiga orang panel, iaitu Dr. Abdul Rahman Abdul Shukor (Perunding Syariah dan Penasihat Syariah), Muhammed Zahid Abdul Aziz (Pengarah, Muamalah Financial Consulting Sdn Bhd) dan Ahmad Yani Ismail (Pemangku Pengarah, Pusat Penyelidikan Ekonomi & Kewangan Islam (IRCIEF), manakala moderator sesi forum dikendalikan oleh Mohamad Zarifi Mohamad Daud.
