Kuala Lumpur – Yayasan Datuk Malaysia (YDM) terus bergerak kehadapan dengan memantapkan visi dan misinya dalam menguatkan rantaian perniagaan dan sumbangan kepada masyarakat dalam pelbagai bidang antaranya pendidikan, teknologi, pertanian dan sebagainya.
Presidennya, Tan Sri Syed Yusof Syed Nasir berkata, yayasan yang dianggotai lebih daripada 400 ahli itu terdiri daripada pelbagai latar belakang pengalaman, khususnya dalam bidang perniagaan telah bergerak aktif bagi menjayakan setiap aktiviti dan program yang telah di rancang dan akan dianjurkan kelak.
“Yayasan ini ditubuhkan untuk membantu masyarakat yang memerlukan disamping menguatkan lagi perniagaan agar kita dapat memberi kembali kepada orang yang kurang bernasib baik.
“Kita bukan sahaja terbuka kepada semua kaum, tetapi menerima juga sesiapa yang mempunyai perniagaan dan berminat untuk menyertai yayasan ini. Ada yang tidak mempunyai status Datuk tetapi mempunyai perniagaan dan bakal dianugerahkan status tersebut juga diterima sertai kami.

“Selain bidang perniagaan, ahli yayasan ini terdiri dari pelbagai bidang lain antaranya pendidikan, perundangan, politik dan pelbagai lagi profesionalism yang lain” katanya dalam sidang media.
Jelasnya, yayasan ini memiliki objektifnya sendiri dan masing-masing menyimpan hasrat untuk menabur bakti bukan sahaja untuk menganjurkan kerja-kerja amal tetapi juga membantu aktiviti sosial dan persatuan yang meminta pertolongan.
“Dengan pertambahan ahli, ini adalah masa yang sesuai dan tepat bagi kami untuk memberi sumbangan kembali kepada komuniti yang memerlukan” ujarnya lagi.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis penganugerahan watikah ahli kehormat YDM bagi 23 keahlian baru yang berlangsung di sebuah hotel di sini baru-baru ini.
Mengulas mengenai pengumpulan dana untuk kelangsungan yayasan tersebut, Syed Yusof menerangkan, berbeza dengan yayasan lain yang bergantung kepada dana yang diperoleh daripada sumbangan derma orang ramai tetapi sumber kewangan YDM diperkasakan oleh sumbangan daripada ahli-ahlinya.
YDM menyasarkan peningkatan 1000 ahli seluruh Malaysia menjelang akhir tahun ini.
