KUALA LUMPUR – Institut Juruaudit Dalaman Malaysia (IIA Malaysia) mengalungkan ungkapan tahniah kepada YBhg. Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi, Ketua Audit Negara Malaysia dan Jabatan Audit Negara atas pelulusan Rang Undang-Undang Pindaan Akta Audit yang terkini. Pencapaian penting ini menjadi penanda masuknya era baharu dalam rangka kerja tadbir urus negara.
Pindaan yang diperkenalkan pada Akta Audit adalah langkah penting ke hadapan dalam memperkukuh akta tersebut dengan peruntukan baharu yang memenuhi keperluan semasa. Antara peruntukan terbaharu dalam akta ini adalah dari segi peningkatan peranan dan peluasan skop tugas yang diamanahkan kepada Ketua Audit Negara serta Jabatan Audit Negara. Pendekatan komprehensif ini menjamin ketelusan kepada tadbir urus dengan akauntabiliti negara.
Peranan Ketua Audit Negara adalah penting dalam memastikan ketelusan, akauntabiliti dan penggunaan peruntukan Kerajaan dengan penuh hemat. Amat penting untuk Ketua Audit Negara diberi kuasa untuk mengakses dan mengaudit semua syarikat yang menerima jaminan atau peruntukan kewangan daripada kerajaan. Lanjutan daripada pemeriksaan urusan kewangan dan operasi syarikat-syarikat ini, kerajaan mampu memberi jaminan kepada pembayar cukai dan pihak berkepentingan bahawa jaminan dana awam digunakan secara bertanggungjawab dan telus.
Selaras dengan agenda Kerajaan Madani, langkah ini adalah bukti bahawa terdapat inisiatif untuk mengesyorkan tadbir urus yang baik. Bidang kuasa yang diamanahkan kepada Ketua Audit Negara adalah penting untuk mengesyorkan akauntabiliti, mencegah ketirisan dana awam (serta jaminan), menggalakkan tadbir urus yang baik, melindungi kepentingan awam serta meningkatkan kebolehpercayaan dalam pengurusan dana awam. Langkah ini amat kritikal dalam memastikan pengawasan yang efektif dan pengurusan bertanggungjawab sumber pembayar cukai.
Umum diketahui bahawa kali terakhir Akta Audit dipinda adalah pada tahun 1991. Justeru, pengemaskinian ini adalah sejajar dengan peredaran waktu untuk memperhebat keperluan semasa tadbir urus dan pengauditan. Dengan memutakhirkan akta ini, negara kita lebih bersedia untuk menangani cabaran semasa serta memastikan proses audit negara menjadi efektif dan berorientasikan masa hadapan.
Mohd Khaidzir Shahari, Presiden IIA Malaysia mengulas, “Pencapaian monumental ini adalah bukti dedikasi dan komitmen penuh Ketua Audit Negara dan Jabatan Audit Negara. Pindaan ini akan membawa peningkatan yang signifikan dalam tadbir urus dan akauntabiliti negara kita. Kami berharap untuk menyaksikan kesan positif yang akan dibawa oleh perubahan ini pada sistem pengurusan kewangan awam kita.”
Philip Rao, Gabenor IIA Malaysia dan Ahli Jawatankuasa Perhubungan Awam Institut Juruaudit Dalaman Global (IIA Global), menambah bahawa dalam arena global, salah satu objektif IIA adalah untuk menyokong usaha advokasi berkaitan tadbir urus dan akauntabiliti sektor awam. Dalam konteks ini, pindaan Akta ini bertepatan waktunya, dan mencerminkan langkah positif Malaysia ke hadapan dalam hal ini.
Tuntasnya, IIA Malaysia kekal komited dalam menyokong inisiatif Pejabat Ketua Audit Negara serta badan tadbir urus yang lain dalam penambahbaikan ketelusan dan akauntabiliti di Malaysia. IIA Malaysia percaya bahawa pindaan ini akan membuka jalan kepada rangka kerja tadbir urus yang lebih teguh dan utuh yang memanfaatkan semua rakyat Malaysia.
