Tiga syarikat antaranya Dagang NeXchange Bhd (DNeX), HeiTech Padu Bhd dan Theta Edge Bhd difahamkan telah disenarai pendek untuk projek Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe), yang ditetapkan untuk menyepadukan sistem pengurusan sempadan di bawah pelbagai agensi Kementerian Dalam Negeri.
Difahamkan, ketiga-tiga mereka telah dipanggil untuk taklimat tender seperti yang dilaporkan pada artikel The Edge bertarikh 4 Mac lalu, menunjukkan mereka telah disenarai pendek daripada lebih 10 syarikat yang mengemukakan cadangan projek itu, yang sepatutnya bernilai di bawah RM1 bilion.
Namun, beberapa artikel diterbitkan dari The Edge bertarikh 29 Julai dan Nanyang Siang Pau 28 Julai lalu dan di online telah berlegar yang membayangkan keputusan penyerahan projek terarah kepada entiti Theta Edge dan DNeX.
Melalui carian penulis, Theta Edge Bhd melalui anak syarikatnya, Theta Telecoms Sdn Bhd baru sahaja menerima Notis Pelawaan Cadangan daripada Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) untuk membekal dan menyelenggara teknologi Internet Pelbagai Benda (IoT). Ia sebahagian daripada Inisiatif Perniagaan Pintar di bawah majlis perbandaran itu bagi tempoh konsesi selama 20 tahun di bawah kerjasama awam-swasta.
Theta Edge akan melabur RM673.8 juta dalam projek ini untuk membangunkan IoT Ekonomi Pintar di Ampang Jaya.
Penulis melihat projek ini melibatkan satu angka yang besar dan persoalannya, adakah Theta Edge mempunyai kapasiti sumber kewangan yang diperlukan untuk melaksana projek NIISe nanti?
Dua projek mega digerakkan oleh satu entiti yang sama, bagaimana kekuatan dan kapasiti kewangan yang ada, tidakkah ia membebankan mereka sendiri?
Bukan sahaja kewangan, Theta Edge juga tiada pengalaman dalam bidang keselamatan misi sesuatu yang amat penting untuk projek yang dibida ini.
Dalam melaksana projek keselamatan misi kritikal, sudah pasti pengalaman atau ‘track record’ yang baik menjadi pokok utama kerana ia melibatkan kedaulatan negara. Bukan itu sahaja, isu keselamatan negara juga harus diletakkan pada titik paling tinggi.
Untuk makluman, projek NIISe ini telah mengalami kegagalan sebanyak dua kali sejak tahun 2022, sudah pasti kerajaan tidak ingin ianya gagal sekali lagi dengan hanya kesilapan memilih syarikat yang berkelayakan.
Banyak faktor perlu diambil kira sekiranya ia gagal lagi. Bukan sahaja dari segi masa dan tenaga, malah kos yang dibazirkan untuk ‘projek sakit’ terbuang begitu sahaja.
Untuk pengetahuan pembaca, NIISe adalah sistem keimigresenan yang lebih canggih, bersepadu dan holistik, dengan dilengkapi teknologi terkini seperti kecerdasan buatan (AI), Internet of Things (IoT) serta Big Data Analytic (BDA.) NIISe adalah sistem menyeluruh dan bersepadu, memanfaatkan teknologi terkini, sofistikated serta mengoptimumkan pengautomasian bagi memastikan kualiti penyampaian perkhidmatan keimigresenan memenuhi jangkaan pengguna
Berdasarkan rekod, HeiTech pula mempunyai pengetahuan dan pengalaman yang diperlukan untuk melaksanakan projek-projek IT kerajaan kerana pernah terlibat dengan pelaksanaan IT imigresen dengan memastikan piawaian keselamatan tinggi untuk projek itu.
Malah HeiTech dilaporkan telah dipanggil dua kali untuk ‘merungkai’ beberapa isu yang dicipta oleh pesaing apabila mereka gagal melaksanakan tugas yang diberikan dalam tender terdahulu.
DNex pula dilaporkan meletakkan harga yang tertinggi, kira-kira RM1.1 ke RM1.2 bilion bagi pembidaan projek ini, dan dijangka akan menggunakan satu sistem yang kini digunakan oleh beberapa negara di dunia, sekiranya terpilih.
Namun, isu-isu tempatan amatlah tidak sama dengan isu-isu di negara tersebut dan DNex mungkin perlu melakukan justifikasi yang ketara dan perlu mempunyai pengalaman dan pengetahuan mendalam mengenai isu-isu tersebut.
Dnex perlu meyakinkan lembaga pemilih yang sistem mereka pilih adalah yang terbaik untuk Malaysia.
Penulis berharap, tiba masanya pihak kerajaan berfikir untuk kebaikan bukan sahaja pada negara namun untuk rakyat dalam memilih syarikat yang lebih berkelayakan menerajui NIISe.
Kita tidak mahu pisang berbuah dua kali.
Besar harapan penulis mewakili suara orang ramai, agar kerajaan membuat pertimbangan sewajarnya dan bukan melalui pilihan ‘favouritsm’ mahupun agenda lain disebaliknya.
