Kajang -Program-program yang berkaitan dengan penguatkuasaan undang-undang atau pentadbiran undang-undang biasanya ditawarkan di institusi swasta yang diiktiraf oleh KPM.
Untuk jurusan ini, Kolej Universiti Inovatif menerusi Fakulti Latihan Penguatkuasaan Undang-Undang (LPU) merupakan pusat pengajian pertama di Malaysia yang menawarkan latihan menembak dalam Kursus Asas Keselamatan dan Penggunaan Senjata Api sejak 2023.
Naib Canselor, Professor Emeritus Dato’ Seri Dr. Mohamed Mustafa berkata silibus dan latihan menembak diteliti oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Kelab Menembak Bandar Kajang bagi memastikan setiap latihan mematuhi aspek keselamatan dan syarat yang ditetapkan.

“Latihan telah bermula di peringkat sijil dan diploma pada tahun 2023, dan tahun ini kami kembangkan ke peringkat ijazah dimana ini satu pencapaian yang baik bukan sahaja dari segi akademik, malah latihan menembak yang diberi juga lebih mencabar.
“Kita berharap dapat bekerjasama lagi dengan pihak PDRM untuk pengembangan di peringkat master pula” katanya dalam sidang media di padang Kelab Menembak Bandar Kajang hari ini.
Dalam masa sama, Ketua Lesen Pasukan dan Ketua Urus Setia Ketua Polis Negara (Lesen Senjata Api) Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM), SAC Datuk Dzulkhairi Mukthar menyifatkan inisiatif fakulti di kolej tersebut sebagai satu usaha baik.
“Inisiatif pihak kolej dalam memperkenalkan latihan berasaskan program penguatkuasaan undang-undang iaitu dengan Kursus Asas Keselamatan dan Pengunaan Senjata Api merupakan usaha yang pertama di Malaysia.
“Ini langkah yang baik, asas kena kukuh dengan ada program dan kursus sebegini graduan boleh jadi lebih berdaya saing” ujarnya.

Beliau turut meneliti usaha pihak fakulti dalam memberikan latihan kecergasan jasmani, ujian psikologi dan latihan kawad sebagai satu usaha dalam memperkukuhkan program pendidikan berasaskan latihan amali demi melahirkan graduan berkualiti dalam program penguatkuasaan undang-undang
Jelasnya, kerjasama sebegini harus diperluas dengan penglibatan Maktab Polis Diraja Malaysia bersama instistusi pengajian tinggi pada masa hadapan.
Turut hadir, Presiden Kelab Menembak Bandar Kajang, Dato’ Lathpi Ahmad, Pengarah Fakulti Latihan Penguatkuasaan Undang-undang, Johari Jamaluddin, Timbalan Pengarah Fakulti Latihan Penguatkuasaan Undang-undang, Shaizuan Saharudin dan ramai lagi.
