PUTRAJAYA – Edisi ke-12 PEKEMA Golf President’s Cup 2026 kembali mencuri tumpuan apabila menghimpunkan hampir 500 pemain golf dari dalam dan luar negara dalam kejohanan yang bukan sahaja meraikan semangat kesukanan, malah menjadi medan memperkukuh jaringan industri automotif serta memperluaskan impak tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Berlangsung di Palm Garden Golf Club, Putrajaya, kejohanan anjuran Persatuan Pengimpot dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) itu melibatkan 125 flite dengan penyertaan ahli PEKEMA, wakil agensi kerajaan, pemain korporat, tokoh perniagaan, bekas atlet kebangsaan serta peserta antarabangsa dari United Kingdom, Jepun, Brunei Darussalam dan Singapura.

Mengangkat tema “Driving Unity, Inspiring Excellence”, penganjuran kali ini tampil dengan nilai tambah menerusi kerjasama strategik bersama Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB). Inisiatif tersebut menjadikan kejohanan ini sebagai platform mengumpul dana bagi membantu kebajikan bekas atlet negara yang pernah mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.
Presiden PEKEMA, Datuk Hj Mohamed Nazari Noordin, berkata kejohanan itu kini berkembang menjadi antara acara golf korporat paling berprestij di negara ini kerana berjaya menghimpunkan pelbagai pihak dalam satu platform yang memberi manfaat kepada industri dan masyarakat.
Menurut beliau, PEKEMA Golf President’s Cup bukan sekadar pertandingan golf, sebaliknya menjadi ruang mengeratkan hubungan antara komuniti automotif, sektor korporat, agensi kerajaan dan masyarakat menerusi semangat kerjasama, jaringan strategik serta tanggungjawab sosial.
Beliau turut menegaskan kerjasama bersama YAKEB mencerminkan komitmen berterusan PEKEMA dalam menghargai jasa bekas atlet negara, dengan setiap penyertaan dalam kejohanan itu turut menyumbang kepada usaha kebajikan yang memberi manfaat kepada golongan berkenaan.
Kini dianggotai 433 syarikat ahli, termasuk 376 pemegang Approved Permit (AP) di seluruh negara, PEKEMA terus memainkan peranan penting sebagai suara industri automotif di samping aktif melaksanakan pelbagai inisiatif pembangunan ekonomi dan kemasyarakatan.

Selain aksi di padang golf, peserta turut berpeluang memenangi hadiah hole-in-one berupa empat buah kenderaan Dongfeng, selain menawarkan hadiah keseluruhan bernilai lebih RM500,000 sekali gus menjadikannya sebagai antara kejohanan golf amatur yang menawarkan hadiah paling lumayan di Malaysia.
Tumpuan utama semestinya terarah kepada cabaran ‘hole-in-one’, dengan hadiah lumayan menanti peserta yang berjaya melakukan pukulan sempurna di lubang ke 7, 12, 14 dan 17.
Kemuncak acara akan berlangsung menerusi majlis makan malam di Putrajaya Marriott Hotel, yang bakal menyaksikan penyampaian hadiah kepada para pemenang serta menghimpunkan pemimpin industri, wakil kementerian, agensi kerajaan, rakan strategik dan penaja.
Pada majlis sama, seramai 10 bekas atlet negara daripada sukan golf, renang para, berbasikal, hoki, angkat berat, olahraga para dan bola sepak akan menerima sumbangan daripada Yayasan PEKEMA sebagai penghargaan terhadap jasa mereka kepada negara.

Kejayaan penganjuran PEKEMA Golf President’s Cup edisi ke-12 turut disokong oleh pelbagai rakan strategik dan penaja yang komited dalam memperkasa industri automotif, pembangunan sukan serta agenda tanggungjawab sosial korporat.
PEKEMA berharap kejohanan ini akan terus menjadi platform yang merapatkan hubungan pemain industri, memperkukuhkan kerjasama strategik dan memperluaskan manfaat kepada masyarakat, selaras dengan aspirasi untuk melahirkan industri automotif Bumiputera yang lebih progresif, berdaya saing dan prihatin terhadap kebajikan komuniti.
