7b507944-b970-47dd-bcf0-1851d1a6777c

Petaling Jaya – Komuniti Belia Selangor (SAY) di bawah naungan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah dengan kerjasama The King’s Trust International iaitu sebuah organisasi global yang diasaskan oleh Duli Yang Maha Mulia Raja Charles III, telah memulakan inisiatif untuk menyokong belia yang sedang berjuang melalui Perjalanan pembangunan peribadi dan profesional selama 9 minggu dengan pelbagai aktiviti yang terlibat.

Dalam program itu, salah seorang peserta Amirul Mukminin Rozaili, 24, dipilih sebagai pemenang Anugerah Kelestarian Asia untuk kategori Anugerah King’s Trust Global 2024.

Beliau telah mengharumkan nama negara dengan memenangi Anugerah Kelestarian King’s Trust 2024 peringkat Asia. Anugerah berprestij ini adalah sebahagian daripada Anugerah Global King’s Trust 2024, yang mengiktiraf anak muda cemerlang dalam program King’s Trust di seluruh dunia.

Kejayaan Amirul adalah bukti kekuatan program pembangunan diri dan profesional Program Pasukan Malaysia, sebuah inisiatif di bawah Selangor Youth Community (SAY) dengan kerjasama The King’s Trust International. Program ini bertujuan membantu anak muda menghadapi cabaran hidup, mengasah kemahiran mereka, dan membuka peluang baru. Bagi Amirul, program ini telah menjadi titik tolak dalam mengubah kehidupan dan aspirasi beliau.

Pengurus Program TEAM, Siti Nurainin Nabillah Mohd Azman berkata, SAY menyasarkan golongan muda yang mencari hala tuju dalam pemilihan kerjaya diminati.

Jelasnya, program tersebut turut memfokuskan dua aspek utama iaitu alam sekitar dan komuniti untuk dijadikan aktiviti bersama peserta.

“Untuk bidang kerjaya yang ditawarkan kepada peserta TEAM ada banyak dan tidak fokus kepada alam sekitar sahaja.

“Kebanyakannya kami menawarkan juga pekerjaan kategori entry level seperti industri makanan dan minuman, komunikasi dan banyak lagi, tetapi yang penting ia menepati pasaran terkini,” katanya kepada pemberita ketika Majlis Anugerah TEAM 2024 di Bandar Sunway, Petaling Jaya, Selangor pada Selasa.

Katanya lagi, pemilihan peserta juga adalah terbuka dan tidak terhad kepada penduduk Selangor sahaja.

Individu berumur 15 hingga 30 tahun dan warganegara Malaysia merupakan antara kriteria wajib yang diletakkan bagi kemasukan sebagai peserta TEAM.

Lebih istimewa lagi apabila para peserta diberikan elaun dan kemudahan makanan sepanjang mengikuti program selama sembilan minggu yang bertempat di mana-mana kawasan di Selangor.

Majlis ini turut memberi penghargaan kepada pelbagai pihak yang menyokong program ini. Nestle Malaysia dianugerahkan sebagai Rakan Korporat Paling Menyokong, manakala Perkeso dan Tropical Rainforest Conservation Research Centre (TRCRC) masing-masing menerima anugerah sebagai Rakan Pekerjaan Paling Menyokong. Penerima Anugerah Ketabahan, En. Syafiq Affizuddin, seorang alumni Program Pasukan, juga diiktiraf atas ketabahannya menghadapi cabaran hidup.

SAY dan King’s Trust International terus komited dalam usaha mereka untuk memperkasakan belia Malaysia. Kolaborasi dengan Nestle Malaysia, yang dimeterai melalui Memorandum Persefahaman yang disaksikan oleh Tengku Amir Shah, dijangka akan terus memberikan impak positif kepada generasi muda negara.

Leave a Reply