IMG_20240814_144000

Petaling Jaya – Syarikat produk kosmetik Dr Anne Skincare, DASC International Sdn Bhd dinobatkan sebagai juara program Aspire Komuniti Belia Selangor (SAY) edisi kelima hari ini.

“Program ini membantu usahawan tempatan membawa produk ke seluruh dunia dan ia membuka peluang untuk kita buktikan produk Malaysia berkualiti dan bagus.

“Program ini turut mengiktiraf bakat usahawan selepas diberi bimbingan dari pihak berpengalaman. Harap ia diteruskan lagi supaya lebih banyak produk usahawan tempatan dapat dikembangkan,” kata Dr Nurhidayah Roslan.

Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah menyampaikan anugerah itu kepada pengasasnya merangkap pengarah urusan, Nurhidayah Roslan semasa majlis di Hotel Sunway Resort and Spa.

Baginda turut menyampaikan anugerah kepada pemenang tempat kedua Citra Kesom Sdn Bhd dan pemenang tempat ketiga Skinny Bakers Group Sdn Bhd.

Ketiga-tiga pemenang menerima ganjaran berimpak tinggi, termasuk penerbangan tajaan ke negara pilihan untuk promosi dan rundingan perniagaan.

Mereka juga akan menerima bimbingan khas, gerai, dan sesi rangkaian perniagaan, serta peluang untuk bekerjasama dengan agensi berkaitan.

Sementara itu, syarikat ubat gigi Al-Meswak Mu’min Sdn Bhd dan penjual pakaian solat segera Zaahara Ventures Sdn Bhd dipilih sebagai penerima anugerah khas.

Terdahulu, Tengku Amir mengetuai proses penghakiman membabitkan 10 finalis bersama beberapa individu lain termasuk Exco belia, sukan dan keusahawanan negeri Mohd Najwan Halimi.

SAY Aspire ialah program pembangunan keusahawanan untuk belia yang berpotensi mengembangkan produk dan perkhidmatan ke pasaran global melalui kursus bimbingan dan latihan strategi eksport.

Program yang bermula pada 2018 itu terbuka kepada syarikat yang beroperasi di Selangor, dengan pengarah berusia antara 18 hingga 40 tahun, dan tidak diisytiharkan muflis atau disenarai hitam.

Tahun ini, SAY Aspire, yang telah berlangsung sejak Januari, melibatkan penyertaan 30 usahawan mikro, kecil dan sederhana, dengan 10 syarikat layak ke peringkat akhir.

Leave a Reply