f94fafef-6a4a-4ce6-8a33-853bee9eef98

Hulu Langat – SeriGreen melancarkan acara seni sulungnya, “Sidang di Telang,” yang menampilkan pameran seni terbuka yang mempamerkan koleksi lukisan baharu Jailani Hassan bertajuk “Bunga Rasa Seranum Kata” yang dikendalikan oleh pengasas SeriGreen, Jamaliah Hamdan.


Yang Amat Mulia Tengku Puan Panglima Besar Tunku Puteri Puan Sri Dato’ Seri Jawahir binti Almarhum Tuanku Ja’afar turut hadir bagi merasmikan acara ini.

Majlis ini bukan sahaja mempamerkan karya seni Jailani Hassan tetapi juga menjadi platform untuk memperkenalkan tenun Bunga Lado Negeri Sembilan dan menyerlahkan kerjasama antara SeriGreen dan Diraja Sembilan untuk CIMB ARTOBER 2024.

Jamaliah Hamdan berkata, motif bunga telang digunakan bagi koleksi fesyen yang direka oleh pereka fesyen, Anuar Faizal bagi mengangkat flora yang cukup terkenal dikalangan masyarakat melayu.

“Kita dapat lihat karya-karya lukisan dari Jailani Hassan yang dipamerkan disini, selain itu pelbagai fesyen dari telekung, pakaian kasual, pakaian berkebun dan sebagainya direka oleh pereka fesyen terkenal membangkitkan motif bunga telang.

“InsyaAllah koleksi-koleksi ini akan dibawa ke pertunjukan CIMB ARTOBER 2024 pada bulan Oktober nanti dan perancangan untuk komersil juga bakal disusun selepas ini, saya pasti motif bunga telang akan mendapat perhatian” ujarnya.

Yang Amat Mulia Tengku Puan Panglima Besar Tunku Puteri Puan Sri Dato’ Seri Jawahir menambah, Negeri Sembilan akan dihidupkan semula dengan bermotifkan ‘bunga lado’, iaitu antara sembilan identiti di negeri ini.

Songket identiti negeri adat Perpatih pernah diketengahkan sekitar 1998 iaitu bermotifkan ukiran dan tumbuh-tumbuhan, namun pada kali ini pihaknya lebih serius mahu mengangkat identiti bunga lado dengan kerjasama Jabatan Penjara dalam menghasilkan songket berkualiti tinggi.

“Setiap luak di negeri ini ada identiti tersendiri, tetapi asasnya tetap bermotifkan bunga lado, reka bentuk itu mengikut ukiran seni dan identiti luak masing-masing,” katanya.

Jelasnya, bunga lado melambangkan keunikan Negeri Sembilan yang sinonim dengan masakan pedas manakala ciri-ciri bunga itu ialah berwarna putih, mempunyai kelopak daun, lima stamen dan stigma.

Daun melambangkan rakyat di negeri ini, lima kelopak bunga (lima Rukun Islam dan lima Rukun Negara), Stamen (Benang Sari) iaitu Undang Yang Empat (Undang Sungai Ujong, Undang Jelebu, Undang Johol, Undang Rembau) dan Tuanku Besar Tampin manakala stigma (Yang Dipertuan Besar).

Pereka fesyen, Anuar Faizal turut menjelaskan songket bunga lado itu akan ditenun oleh banduan Penjara Marang yang cukup terkenal dengan hasil tenunan yang berkualiti tinggi.

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading