Subang Jaya – Sebagai salah satu usaha tanggungjawab sosial korporat sempena sambutan kemerdekaan ke-67 pada 31 Ogos ini, MY Classic Cars menyantuni 107 orang anak-anak yatim dari 7 buah rumah kebajikan.
Program “11TH MALAYSIA CLASSIC CARS MERDEKA CHARITY DRIVE 2024 yang telah bermula sejak 2013 ini memilih hari kemerdekaan setiap tahun bagi meraikan golongan kurang bernasib baik sambil meraikan hari bersejarah negara disamping memupuk semangat patriotisme.
MY Classic Cars, sebuah organisasi yang terkenal dengan dedikasinya terhadap komuniti pemilik dan peminat kereta klasik, telah menetapkan sasaran sumbangan minimum RM21,000.00 untuk diagihkan kepada rumah-rumah kebajikan yang terpilih.

Pengarah MY Classic Cars, Rukshan Munesinghe berkata, matlamat utama acara ini adalah untuk menggabungkan minat terhadap kereta klasik sambil menjalankan tanggungjawab sosial.
“Kita raikan anak-anak yatim ini dengan membawa mereka dari rumah kebajikan ke Restoran Kampungku, kelab tasik Subang Jaya dengan menaiki kereta vintaj, disini kita raikan mereka dengan menjamu selera sambil menikmati persembahan dari anak-anak yatim itu sendiri.
“Dalam masa sama, kita akan menyerahkan bantuan kewangan yang kita perolehi dari kutipan dana jualan meja, kita juga mengedarkan tabung bagi sesiapa yang ingin menambah sumbangan dan kesemuanya akan diserahkan ke rumah-rumah kebajikan pada hari ini juga” jelasnya.


Tambahnya, setiap rumah kebajikan akan menerima sumbangan sekurang-kurangnya RM3,300.
“Acara ini bukan sekadar meraikan sejarah automotif, tetapi juga memberi peluang kepada kita semua untuk bersama-sama menyumbang kepada masyarakat. Kami percaya bahawa semangat kemerdekaan perlu disertai dengan semangat membantu mereka yang memerlukan,” tambahanya lagi.

Selain pameran kereta, acara ini turut menawarkan lelongan amal dan persembahan kanak-kanak, menjadikan ia satu pengalaman yang bermakna bagi semua yang hadir. Dengan harga tiket bufet sebanyak RM50.00 seorang, pengunjung dapat menikmati hidangan enak sambil menyumbang kepada tujuan amal.
