41bb18d3-7b9f-4b22-b8c7-c93afb8e0412

Kuala Lumpur – Persatuan Pereka Bumiputera Malaysia (MBDA) melancarkan kempen MY Gaya Month 2024 untuk mengetengahkan dan mempromosi barangan Malaysia menerusi produk fesyen, gaya hidup dan pelancongan.

Ia sekali gus melahirkan usahawan baharu sambil melatih graduan fesyen dari akademi-akademi tempatan dalam industri fesyen.

Kempen yang akan berlangsung selama sebulan bermula 7 Oktober hingga 25 November 2024 dilancarkan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Mohd Sayuthi Bakar bersempena Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) 2024 bersama MBDA di Kuala Lumpur, baru- baru ini.

Pengerusi MBDA, Bon Zainal Harun berkata, inisiatif itu menampilkan lebih 30 pereka, usahawan gaya hidup dan akademi fesyen tempatan bersama koleksi-koleksi dan produk terbaharu mereka yang direka serta dihasilkan khas bagi kempen itu bertemakan fabrik berelemen warisan.

Disamping itu, kempen ini juga turut berkerjasama dengan Pavilion Damansara Height sebagai rakan strategik penajaan lokasi.

“Acara selama sebulan ini akan menyorot kepelbagaian wawasan dan kreativiti pereka fesyen tempatan di Malaysia, memberikan peluang kepada masyarakat dan pengunjung dari luar negara untuk menghayati kecantikan dan keindahan yang lahir daripada industri fesyen dan gaya hidup tempatan.

“Ini juga sebagai tanda aras kepada kami untuk mengangkat budaya, seni dan fesyen negara kita ke peringkat lebih tinggi” katanya dalam sidang media hari ini.

Penaung MBDA, Dato’ Indera Tom Abang Saufi menambah, Malaysia sebuah negara yang kaya dengan seni budaya, fesyen, kreativiti dan kepelbagaian etnik yang mendukung keunikan dan secara langsung mempromosi Malaysia ke mata dunia.

“Kita harus berbangga mempunyai pelbagai budaya dan bangsa yang setiap darinya memiliki keunikan tersendiri, seperti contoh batik, kita ada seni batik tersendiri dan boleh dipelbagaikan bukan sahaja pada pakaian, malah boleh diterapkan ke pelbagai lagi kegunaan harian.

“Batik Malaysia sudah terkenal dan ini seharusnya menjadi kebanggaan kepada kita untuk terus memastikan batik terus menjadi pilihan” ujarnya.

MBDA turut menggalakkan amalan perniagaan lestari dikalangan pemain industri dan menjadi asas dalam perkembangan industri fesyen untuk masa depan lebih mampan.

Dalam masa sama, Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) dilihat sebagai langkah strategik bagi mengukuhkan ekonomi negara melalui sokongan terhadap industri tempatan, terutamanya dalam sektor kreatif dan pembuatan.

“Barisan pereka, usahawan dan akademi yang akan memperagakan jenama mereka sempena MY Gaya Month 2024 ialah Batek by Rasta Rashid, Bon Zainal, Thalia, Kalima, Kashfi Zulkufli, Jay K, Kolej Vokasional ERT Setapak, UCSI University, ICAD, Universiti Teknologi MARA dan UNITAR International University,” katanya.

Sementara itu, Bon Zainal menambah, penganjuran My Gaya Month 2024 untuk tahun keempat itu merupakan salah satu inisiatif strategik KBBM menggangkat segmen atau industri lain untuk diketengahkan dalam membantu usahawan tempatan memasarkan produk Barangan Malaysia.

“KBBM dilaksanakan bagi mencapai objektifnya iaitu untuk meningkatkan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat Malaysia terhadap barangan dan perkhidmatan buatan Malaysia.

“KBBM juga merangsang pertumbuhan ekonomi domestik dengan meningkatkan pembelian barangan tempatan. Ia juga meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kualiti produk dan perkhidmatan buatan Malaysia yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa serta membantu pengusaha tempatan dalam memasarkan produk dan perkhidmatan mereka,” jelasnya.

MY Gaya Month 2024 turut diserikan lagi dengan pertunjukkan fesyen pada 26 Oktober 2024 di Pavilion Damansara Height, Kuala Lumpur yang akan disiarkan secara langsung oleh stesen televisyen dan platform seperti Facebook, Youtube dan Instagram.

Selain itu, kempen ini turut mengadakan pelbagai lagi acara seperti, forum fesyen & perniagaan, melukis batik, tutorial tudung dan pelbagai lagi.

MBDA menyasarkan penjualan produk berjumlah RM1 juta sepanjang bulan kempen MY Gaya Month 2024.

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading