HH_05989

KUALA LUMPUR – Penyanyi muda Zaki Yamani membuka lembaran baharu dalam kerjaya muzik apabila secara rasmi menyertai Sony Music Malaysia, dengan sasaran untuk mengembangkan karya dan identitinya ke pasaran Asia Tenggara.

Kerjasama itu dimeterai menerusi Majlis Menandatangani Perjanjian yang berlangsung hari ini bersama Pengarah Urusan Sony Music Malaysia, Singapura, Vietnam dan Projek Khas Asia Tenggara, Kenny Ong.

Lebih daripada sekadar menyertai syarikat rakaman baharu, langkah berkenaan turut membuka peluang kepada Zaki untuk meneroka pasaran dan bunyi muzik yang lebih luas.

Antara perancangan terdekat ialah kerjasama Zaki dengan beberapa penerbit muzik terkenal dari Indonesia bagi menghasilkan karya baharu.

Kolaborasi rentas sempadan itu dijangka memberi ruang kepada Zaki untuk bereksperimen dengan pendekatan muzik berbeza, selain menggabungkan elemen serantau dalam karya yang bakal diperkenalkan kepada pendengar.

Usaha tersebut selari dengan perancangan Sony Music Malaysia untuk membangunkan kerjaya Zaki secara lebih menyeluruh, bukan sahaja dalam mengukuhkan kedudukannya dalam industri muzik tempatan, malah memperluaskan pengenalan terhadap muzik dan identitinya kepada pendengar di rantau Asia Tenggara.

Zaki menyifatkan peluang menyertai Sony Music sebagai satu langkah penting dalam perjalanan seninya.

“Saya sangat bersyukur dan gembira kerana diberi peluang untuk menjadi sebahagian daripada keluarga Sony Music. Saya melihat peluang ini sebagai satu langkah penting dalam perjalanan kerjaya saya.

“Insya-Allah, saya akan terus belajar, membina dan mengembangkan kerjaya nyanyian saya serta memberikan yang terbaik buat para peminat dan industri muzik,” katanya.

Majlis tersebut turut dihadiri peminat dan ahli Fan Club Zaki Yamani yang hadir memberikan sokongan sempena perkembangan terbaharu kerjaya penyanyi berkenaan.

Dengan sokongan Sony Music serta perancangan menghasilkan karya bersama penerbit dari Indonesia, Zaki kini mempunyai ruang untuk meneroka lebih banyak kemungkinan dalam muzik, termasuk membawa identiti seninya dari Malaysia ke khalayak yang lebih luas di rantau ini.

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading