Kuala Lumpur – Dalam melahirkan belia terbaik bukan sahaja aspek jati diri namun berkepimpinan dan berani yang mampu menongkah era globalisasai pastinya menjadi agenda setiap negara.
Asia Youth International Model United Nations (AYIMUN) ialah platform di mana mentaliti belia dalam kepimpinan, perundingan dan diplomasi akan dibangunkan dalam melahirkan generasi yang lebih inovatif.
Pengasas dan Presiden International Global Network, Muhammad Fahrizal berkata, dua persidangan belia antarabangsa yang akan berlangsung pada tahun 2025 menyaksikan Malaysia sebagai tuan rumah kehadiran lebih 2,000 peserta dari lebih 60 negara.

“Dua persidangan yang bakal berlangsung adalah Asia Youth International Model United Nations (AYIMUN) ke-16 dan Asia World Model United Nations (AWMUN) X.
“Kuala Lumpur dipilih sebagai lokasi utama berikutan sokongan kuat daripada pelbagai institusi pendidikan dan kerajaan serta kedudukan sebagai pusat pertukaran budaya dan aksesibiliti belia Asia” jelasnya.
Tambahnya, persidangan AYIMUN ke-16 akan berlangsung dari 17 hingga 20 Januari 2025, manakala AWMUN X dijadualkan pada 14 hingga 17 Februari 2025.
“Selain Kuala Lumpur, persidangan serupa juga akan diadakan di beberapa bandar utama lain seperti Seoul, Bali dan Bangkok sepanjang tahun 2025.
“Kita jangkakan lebih 5,000 pelajar dari sekurang-kurangnya 100 negara akan menyertai rangkaian persidangan itu yang menghubungkan generasi pemimpin muda rentas sempadan dan budaya.

“AYIMUN 16th kali ini mengangkat tema ‘Menghadapi Dilema Politik Global: Peranan Belia untuk Mengukuhkan Multilateralisme’ yang mengajak peserta meneroka kerumitan politik dunia dan menggalakkan peranan belia dalam kerjasama pelbagai hala.
“Tema itu menuntut delegasi memahami cabaran yang wujud dalam landskap antarabangsa masa kini daripada konflik diplomatik hingga persaingan ekonomi serta peranan belia dalam mengekalkan keamanan dan menggalakkan kerjasama global,” katanya lagi.
Persidangan ini bukan sahaja memupuk pemahaman mendalam tentang cabaran global tetapi juga membangunkan kemahiran kritikal seperti kerjasama, penyelesaian masalah, dan kemahiran komunikasi.
