Isu ini sering kali di bangkitkan. Bangsa Melayu masih lagi ketinggalan dalam ekonomi Paling merisaukan bila mana ada syarikat-syarikat dan entiti korporat yang dahulunya diteraju orang-orang melayu atau bumiputera, kini jatuh ke tangan kaum lain.
Kenapa dan mengapa ini terjadi?
Kita gigih membicarakan mengenai perencanaan transformasi dan hala tuju baharu agenda bumiputera untuk sedekad ke hadapan. Tetapi nasib orang kita pada masa kini pastinya ibarat menanti belah.
Mesyuarat Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB) Bilangan 2 Tahun 2024, kerajaan telah membincangkan dengan teliti kerangka dan inisiatif-inisiatif dalam memberi anjakan penyertaan, pemilikan dan penguasaan bumiputera selari dengan aspirasi Ekonomi Madani.
Kerajaan dengan sokongan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berpendapat agensi kerajaan termasuk Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) masih diperlukan melalui penyelarasan, pengukuhan pendekatan dan sokongan penggunaan teknologi baharu yang didasari mandat penubuhan mereka.
Namun sejauh manakah agenda ini mampu direalisasikan?
Kita tidak mahu agenda ini menjadi seperti projek gajah putih yang hanya disebut-sebut dan dicanang-canang tetapi hakikatnya gagal terlaksana.
Sejak Dasar Ekonomi Baru (DEB) diperkenalkan pada tahun 1971, agenda sosioekonomi negara tertumpu kepada pembangunan masyarakat Bumiputera.
Hasil dapatan kajian menunjukkan DEB boleh dianggap sebagai suatu langkah berani dalam usaha mengubah landskap ekonomi negara ini agar misi dan visi perpaduan nasional dapat dicapai.
Hal yang penting juga menerusi DEB mencerminkan campur tangan kerajaan dalam ekonomi yang memperlihatkan wujud diskriminasi dalam pengagihan kekayaan negara kepada rakyat, khususnya untuk masyarakat bumiputera.
Namun, DEB dilihat kurang memberi kesan kepada bumiputera sejak akhir-akhir ini. Malah kini, bumiputera semakin ditekan-tekan dan hak istimewa juga dilihat semakin dirobek apabila ada unsur-unsur yang cuba merosakkannya.
Kesungguhan para pemimpin mengenai hal ini memang tidak berbelah-bagi kerana beberapa Pelan Ekonomi seperti WAWASAN 2020 dan pelbagai Pelan lagi telah diperkenalkan bagi memastikan kesinambungan objektif DEB apabila tempohnya tamat.
Baru-baru ini, satu usaha terbaik dilakukan pihak kerajaan apabila Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 ditubuhkan bertujuan menilai semula transformasi ekonomi bumiputera dengan memperbaiki kepincangan dari segi pelaksanaannya dan bukannya untuk menggantikan Dasar Ekonomi Baru (DEB).
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata hal ini kerana matlamat utama kongres itu adalah untuk menstruktur semula penyertaan bumiputera dalam sektor ekonomi di negara ini dan memastikan ia dilakukan dengan lebih telus dan terbuka.
Transformasi Ekonomi Bumiputera (TEB) yang diketengahkan sebagai satu dasar bagi mengorak langkah ke hadapan tidak menggantikan DEB. Ini satu usaha yang bagus dalam memberi nilai tambah kepada DEB.
Bumiputera masa kini. Kenapa masih ketinggalan?
Bagaimanapun, selepas lebih 50 tahun, masyarakat Bumiputera yang membentuk 71.04% penduduk pada 2024, masih ketinggalan daripada kaum lain dari segi ekonomi.
Adakah para pemimpin sekarang ini tidak bersungguh atau komited seperti yang terdahulu?
Ramai usahawan Bumiputera yang berjaya terpaksa gulung tikar akibat daripada kemelesatan ekonomi, krisis matawang Asia dan juga faktor-faktor lain.
Pada era pasca pandemik covid 19, 8.85 peratus usahawan dilapor gulung tikar kerana tidak mampu bertahan akibat kerugian yang ditanggung. Bukan sahaja usahawan malah para pekerja turut menerima kesannya apabila hilang sumber mata pencarian disebabkan dibuang kerja dan lebih sedih lagi apabila syarikat tempat bekerja terpaksa ditutup.
Pada waktu itu, kita dapat lihat pelbagai inisiatif dilakukan oleh pihak kerajaan bagi membantu isu ini dan ketika itu muncul sektor pekerjaan GIG yang rata-ratanya diisi oleh kaum bumiputera.
Inisiatif kerajaan dilihat agak lompong dan tidak mencapai sasaran sepenuhnya dalam membantu syarikat-syarikat dan para pekerja secara menyeluruh. Kesannya, masih lagi ada syarikat dan orang awam yang masih ketandusan pekerjaan terutama bagi mereka yang berumur 40 tahun keatas. Ini dapat dilihat apabila sehingga kini, masih ramai yang menagih untuk mengeluarkan simpanan akaun 1 KWSP.
Apa yang pasti ialah Kerajaan sedang cuba mengubah haluan dengan tidak memberi bantuan kewangan semata-mata kerana para usahawan ini perlu dibekalkan dengan ilmu yang sepatutnya agar mereka berdaya saing dan relevan sepanjang masa.
Kerajaan kini, dalam menjauhi amalan masa lalu, seperti yang disebut oleh sesetengah pihak, “membela” komuniti perniagaan bumiputera, kini mahu mengukuhkan ekosistem keusahawanan.
Intinya ialah penjajaran tiga agensi Teraju, Ekuiti Nasional Bhd dan Yayasan Peneraju untuk menumpukan sumber mereka kepada mewujudkan ekosistem yang boleh melahirkan komuniti perniagaan yang lebih berdaya tahan dalam kitaran ekonomi yang teruk.
Namun pada pendapat penulis, usahawan bumiputera harus terus dibantu dari segi modal pemula yang berbentuk geran namun ianya perlu lebih telus, adil dan melalui peringkat penapisan yang ketat agar tidak sesekali ada konsep ‘duit kopi’. Ini sangat membantu golongan bumiputera yang bersungguh-sungguh menguasai perniagaan dan membina empayar agar memberi kebaikan juga kepada negara amnya.
Selain itu, antara langkah tegas yang ingin diambil ialah membantu melalui kredit dan pinjaman daripada memberi geran. Ini adalah untuk memaksa usahawan membayar balik apa yang mereka pinjam, yang akan membolehkan aliran dana yang stabil yang boleh memanfaatkan lebih ramai ahli perniagaan.
Walaupun ini adalah langkah yang dialu-alukan dalam mewujudkan lebih banyak usahawan yang berdaya tahan, kerajaan perlu kekal fleksibel dan memastikan usahawan yang “mampu dan bekerja keras” dengan perniagaan yang berdaya maju secara komersial akan terus dibantu dari segi kewangan, sekiranya mereka menghadapi masalah aliran tunai jangka pendek.
Pada masa yang sama Kerajaan juga perlu memastikan agar syarikat-syarikat Bumiputera terus diberikan keadilan dan kekal milik majoriti Bumiputera bagi mendapat ‘advantage’ untuk tender-tender kerajaan.
Ini berdasarkan kecenderungan pihak-pihak berkepentingan dan juga bukan Bumiputera (atau didalangi oleh syarikat bukan Bumiputera) yang membeli saham-saham ataupun mengambil-alih syarikat Bumiputera yang berpotensi walaupun mereka mungkin tidak mempunyai kepakaran yang diperlukan.
Kerajaan dan juga pihak tertinggi negara merupakan entiti yang sangat relevan dan berkuasa dalam memastikan syarikat bumiputera terus dibela dan dijaga agar tidak sewenangnya jatuh ke tangan bangsa lain dan akhirnya tiada apa boleh diselamatkan.
Peri pentingnya tidak mencampurkan soal ini dengan kepentingan mileage politik atau menjaga punggung kedudukan semata-mata. Jati diri bangsa kita harus kekal menjadi keutamaan agar ia tidak diinjak-injak dan ditertawakan masa hadapan nanti.
Nasib Syarikat Bumiputera Di Persimpangan Delima?
Ini bukan berkisar sebuah lagu cinta Di Persimpangan Delima, tetapi ini reality yang harus kita semua kunyah dan hadam sedalamnya.
Dalam sebuah negara yang majoritinya melayu dan bumiputera, kita masih lagi terkapai-kapai memikirkan nasib nagsa sendiri.Lebih-lebih lagi syarikat korporat gergasi milik orang kita sekalipun pecah kepala cuci otak memastikan entiti ini kekal milik bangsa kita.
Tetapi,
Kita tidak tahu apa akan berlaku pada masa hadapan. Ini kerana senarionya boleh dilihat pada masa kini apabila satu persatu dan sedikit demi sedikit ekonomi kita beralih tangan.
Sampai bila kita mahu canangkan ”Tak mengapa…lumrahlah berniaga, itu kan asam ragam dunia”.
Bangkit! Cukup-cukuplah kita dikatakan bangsa yang leka.
Baru-baru ini nitizen lantang membangkitkan isu Kumpulan KK Supermart yang diberi keistimewaan untuk menandatangani MoU dengan kerajaan wilayah Samarkand di Uzbekistan untuk bersama-sama mempromosikan aktiviti ekonomi apabila agenda Bumiputera diabaikan dalam menyasarkan lebih banyak penyertaan dalam ekonomi.
Kita mempunyai pemain industri pemborong dan peruncit Halal Bumiputera yang terkemuka, Mydin Holdings Berhad yang boleh memperkenalkan produk Malaysia ke pasaran Uzbekistan dan seiring untuk mempromosikan barangan Uzbekistan dengan menumpukan pada buah-buahan dan produk pertanian kita. Ia adalah satu peluang yang hilang untuk memperkasakan agenda Bumiputera.
Contoh lain yang boleh kita cakna adalah isu beras negara.
Sebelum ini, pada 9 Ogos 2009, Syed Mokhtar menawarkan untuk membeli keseluruhan saham Wang Tak dengan kos sebanyak RM530 juta. Dengan saham-saham yang sebelum ini sudahpun dimilikinya, pemilikan saham Wang Tak meningkatkan pegangan saham Syed Mokhtar menjadi 53%. Menjelang 2013, Syed Mokhtar menguasai 72% pegangan didalam Bernas.
Kemudian, desas desus berlegar ada usaha untuk menghentikan monopoli Bernas dan kemudian membuka peluang kepada syarikat-syarikat lain. Waktu itu, ada dua atau tiga syarikat yang telah disenarai pendek.
Sehinggalah pada era PMX, monopoli beras kita dipecahkan dan satu tamparan hebat kerana Syed Mokhtar bukan lagi taikun beras tetapi jatuh ke tangan syarikat-syarikat bangsa lain. Berikutan ini, kesannya rakyat yang perlu hadap apabila kita tak nampak beras tempatan di pasaran, jika ada pun hanya di jualan Madani sahaja.
Rakyat tiada pilihan dan terpaksa membeli beras import yang lebih mahal sekali gus membebankan perbelanjaan bulanan lebih-lebih lagi bagi golongan B40.
Satu lagi berita yang panas ialah isu Heitech Padu baru-baru ini. Desas desus mengatakan saham terbuka mereka telah pun dibeli oleh sebuah entiti perniagaan milik kaum lain.
Pengambilalihan kepentingan 15.89% pegangan dalam HeiTech Padu Berhad oleh MyEG Services Bhd, Rosetta Partners Sdn Bhd dengan 15.9% dan pemegang saham Bukan Bumiputera yang lain telah meninggalkan Dato’ Sri Mohd Hilmey (pengasas dan timbalan pengerusi) dengan hanya 14.16 pegangan saham. Maknanya beliau tidak lagi mempunyai kawalan ke atas syarikat ICT Bumiputera pertama yang ditubuhkan hasil titik peluhnya. Ia hanya menunggu masa di mana satu lagi pengambilalihan halus akan menolaknya keluar daripada syarikat. satu lagi punca hilang untuk menegakkan agenda Bumiputera.
Itu belum kira lagi, beberapa syarikat milik orang kita beralih tangan begitu sahaja. Bukan kerana kita bodoh. Kita terbukti satu bangsa yang bijak pandai cuma tiada sokongan dan kewangan yang terhad menjadi penyebabnya.
Mana pemimpin-pemimpin bangsa kita?
Masih lena diulit mimpi?
Atau masih leka berpeluk tubuh dibuai keindahan pangkat dan kedudukan?
Adakah kita biarkan sahaja ekonomi kita didominasi bangsa lain?
Ingat lagi pada skandal jana wibawa?
Projek Jana Wibawa merupakan program khusus pembangunan kontraktor Bumiputera Tulen yang semasa pandemik COVID-19.
Pelaksanaannya diluluskan Jemaah Menteri pada 13 November 2020 dan bertujuan untuk mempercepatkan pelaksanaan projek kerajaan serta meningkatkan kapasiti kontraktor Bumiputera dalam industri pembinaan, ia juga sebahagian usaha mencapai matlamat memperkukuh Komuniti Ekonomi Bumiputera (BEC).
Namun, Kerajaan menegaskan keputusan untuk merunding semula projek Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa) adalah kerana didakwa berlaku banyak pelanggaran peraturan kewangan.
Ini kerana didapati terdapat syarikat Cina di Johor yang ‘dibumiputerakan’ dan menerima projek berkenaan hanya kerana bergelar ‘kawan baik’.
Perlukah kita berdiam diri apabila hak kita dirobek seperti itu?
Renungkan. Setelah lebih 50 tahun merdeka, pegangan bangsa melayu terhadap kekayaan bumi Malaysia sangat kecil. Walaupun bangsa kita merupakan majoriti , tetapi hanya memegang 1.5% bahagian harta korporat (itupun melalui syarikat kerajaan) berbanding bangsa cina sebanyak 22.8%.
Siapa lagi yang mampu kita harapkan? Jawapannya KITA
Bumiputera dan bangsa melayu haruslah dipelihara hak nya sebagaimana nenek moyang kita menjaga bangsa dengan penuh jiwa dan raga.
Jangan biarkan bangsa kita terus lenyap oleh tangan-tangan ghaib tanpa kita sedar!
