SEPANG – Dalam landskap industri pemakanan sukan dan gaya hidup sihat yang semakin kompetitif, kejayaan ONTHEGO F&B INDUSTRY SDN BHD membuktikan bahawa gabungan visi jelas, strategi tepat dan keberanian berinovasi mampu menghasilkan kejayaan luar biasa.
Ditubuhkan oleh dua usahawan muda, syarikat tempatan itu berjaya mencatatkan hasil jualan mencecah angka lapan digit dalam tempoh kurang setahun beroperasi sepenuhnya, sekali gus meletakkan ONTHEGO sebagai antara jenama bumiputera yang sedang mencipta nama dalam industri kesihatan dan kecergasan negara.
Pengasas dan Pengarah Urusan, Muhammad Emuff Dhiya Ishak, 35, berkata, bermula dengan matlamat untuk menawarkan alternatif produk kesihatan yang lebih berkualiti dan mampu milik kepada rakyat Malaysia, ONTHEGO memberi fokus kepada pengeluaran bahan perasa sifar kalori (zero calorie seasoning) serta pelbagai produk pemakanan sukan premium seperti whey protein, creatine dan suplemen kecergasan yang memenuhi keperluan pengguna moden.

“Pada tahun 2024, kami memasarkan produk perasa makanan pelbagai perisa antaranya lada hitam, kicap pedas, rendang special, perapan bakar, satay special dan tandori.
“Jualan amatlah memuaskan kerana produk ini tiada perasa dan pewarna tambahan serta garam berlebihan” katanya dalam sidang media dia ibu pejabat ONTHEGO.
Ujarnya, pertumbuhan luar biasa yang dicapai dalam masa singkat itu didorong oleh komitmen terhadap kualiti produk, kepercayaan pelanggan serta strategi perniagaan yang menekankan pembangunan jenama secara menyeluruh.
Kesemua produk ONTHEGO menjalani ujian makmal pihak ketiga termasuk SGS bagi memastikan ketelusan, keselamatan dan kualiti terbaik untuk pengguna.

Menurut Pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif, Abdul Arieff Abas, 33, salah satu faktor utama yang membezakan ONTHEGO daripada banyak jenama lain di pasaran ialah kejayaan syarikat memiliki dan mengendalikan kilang pengeluaran sendiri di Selangor. Fasiliti tersebut membolehkan keseluruhan proses pembuatan dijalankan secara domestik tanpa bergantung kepada produk siap yang diimport dari luar negara.
Langkah strategik itu bukan sahaja meningkatkan kecekapan operasi, malah memberi kawalan yang lebih ketat terhadap kualiti produk, penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pematuhan standard keselamatan makanan yang ditetapkan.
“Selepas kejayaan produk perasa makanan (seasoning), kami mengorak langkah ke hadapan dengan mengeluarkan produk serbuk protein dengan pelbagai perisa antaranya chocolate indulgence, coffee hazelnut royale, salted caramel dan durian musang king.
“Produk ini mendapat permintaan yang tinggi bagi kalangan pengguna yang aktif bersukan, bukan itu sahaja ia sesuai untuk sesiapa sahaja yang mencari makanan tambahan bagi memenuhi nutrisi harian” tambahnya.

Jelasnya, produk serbuk protein ini tidak mengandungi gula putih dan pemanis tiruan dan hanya menggunakan pemanis stevia yang tidak berisiko.
“Produk kami telah mendapat pengesahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan sedang dalam proses pengiktirafan pensijilan halal JAKIM yang dijangka diperolehi pada Ogos ini” katanya lagi.
Selain menumpukan kepada penghasilan produk berkualiti tinggi, ONTHEGO turut membina pengaruh jenama melalui penglibatan aktif dalam komuniti sukan dan kecergasan tempatan. Syarikat itu secara konsisten menyokong pelbagai acara sukan, menaja atlet bina badan serta menjalinkan hubungan rapat dengan komuniti yang mengamalkan gaya hidup sihat.
Pada masa sama, pendekatan pemasaran digital yang agresif turut memainkan peranan penting dalam mempercepatkan pertumbuhan jenama. Kerjasama strategik bersama artis, pencipta kandungan dan pempengaruh terkenal tempatan berjaya meningkatkan kesedaran jenama dalam kalangan pengguna pelbagai lapisan umur.
Melalui penggunaan platform media sosial dan sesi siaran langsung yang interaktif, ONTHEGO berjaya mendekati pengguna secara lebih dekat, selain berkongsi ilmu berkaitan pemakanan, kecergasan dan gaya hidup sihat.


Dengan asas perniagaan yang semakin kukuh, kapasiti pengeluaran yang lengkap serta sokongan komuniti yang terus berkembang, ONTHEGO kini bersedia untuk melangkah lebih jauh dengan memperluaskan portfolio produk dan meneroka peluang pasaran baharu pada masa hadapan.
Kejayaan yang dicapai dalam tempoh singkat ini menjadi bukti bahawa jenama tempatan berpotensi besar untuk bersaing di peringkat lebih tinggi apabila disokong oleh inovasi, ketelusan dan komitmen terhadap kualiti.
Sementara itu, ONTHEGO juga menyasarkan pasaran menembusi peringkat global.
