2113574

KUALA LUMPUR – Mahkamah Rayuan bersidang pagi ini bagi mendengar rayuan Datuk Seri Najib Razak agar beliau dibenar mencabar kewujudan titah adendum yang membolehkannya menghabiskan baki hukuman penjara enam tahun menerusi tahanan di rumah.

Bekas Perdana Menteri itu merayu untuk mendapatkan kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman dalam usaha memaksa kerajaan dan enam yang lain mengesahkan kewujudan titah berkenaan yang didakwa diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Pendengaran yang pada asalnya dijadualkan pada 5 Disember tahun lalu dimulakan di hadapan panel tiga hakim yang terdiri daripada Hakim Datuk Azizah Nawawi, Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril.

Pendengaran itu ditangguhkan ke 6 Januari (hari ini) selepas peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan kepada panel tiga hakim bahawa beliau telah memfailkan permohonan pada 3 Disember lepas untuk mengemukakan keterangan tambahan.

Mahkamah juga pada Isnin akan mendengar permohonan bekas Perdana Menteri itu untuk mengemukakan keterangan tambahan bagi menyokong dakwaannya mengenai kewujudan Titah Adendum tersebut.

Antara relif yang dipohon dalam semakan kehakiman itu ialah agar kesemua atau seorang daripada responden memberikan salinan titah utama oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 berhubung pengurangan hukuman penjara dan denda terhadapnya.

Najib juga memohon perintah jika titah itu wujud, kesemua responden atau seorang daripada mereka perlu melaksanakannya dengan memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur serta merta untuk menjalani baki hukuman penjara di rumah.

Isu titah adendum yang dibangkitkan oleh Najib menarik perhatian umum kerana masyarakat ingin mengetahui sama ada perkenan Agong itu benar-benar wujud atau hanya digembar-gemburkan oleh pihak-pihak tertentu.

Ketika umum ternanti-nanti untuk mengetahui keputusan Mahkamah Rayuan berkaitan titah adendum, media melaporkan Najib perlu mengemukakan permohonan baharu kepada Lembaga Pengampunan sekiranya ingin menghabiskan baki hukuman kepada tahanan di rumah.

Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 28 Disember lalu tampil dengan satu kenyataan bahawa permohonan itu perlu dilakukan mengikut tatacara dan saluran yang ditetapkan di bawah undang-undang dan bukannya mana-mana saluran lain.

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading