Cyberjaya – Pengendali premis makanan resepi asli Indonesia di bawah jenama Ayam Gepuk Pak Gembus mengumumkan 12 cawangan miliknya telah mendapat pengiktirafan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) selain dapur berpusat yang membekalkan makanan ke semua premis.
Ketua Pegawai Operasinya, Zulkarnain Mohd Yusof berkata, pihaknya telah memulakan proses permohonan bagi mendapatkan SPHM itu sejak tahun lalu keranaa berpandangan sijil halal adalah sesuatu yang wajib sebagai salah satu cara meyakinkan setiap pelanggannya.

“Bagi kami, sijil halal ini adalah sesuatu yang wajib. Bukan semua orang boleh memperoleh sijil ini dan kami sendiri mengambil masa enam bulan untuk mendapatkan perakuan ini.
“Perniagaan kami ini bukan semata-mata untuk pendapatan, sebaliknya kami mahu meyakinkan pelanggan kami bahawa dari dapur pusat hingga ke meja mereka, semuanya mencapai piawaian yang ditetapkan. Ini paling penting,” katanya.
Tambahnya lagi, SPHM ini adalah pencapaian besar bagi pihaknya dan menjadi satu langkah penting dalam memperkukuhkan lagi jenamanya di negara ini.

“Setakat ini, cawangan yang telah menerima SPHM adalah Saujana Utama 3, Puncak Alam, Setiawangsa, Putra Heights, Semenyih, Bandar Seri Putra, Kajang, Kampung Pandan, NeoCyber, Bandar Baru Nilai, Seremban 3 and Bandar Enstek.
“Bagi cawangan yang lain, pelanggan tidak perlu risau kerana semua bekalan makanan ke semua cawangan adalah dari dapur berpusat kami yang telah diperakui halal,” ujarnya lagi.

Selain itu, Zulkarnain memaklumkan, pihaknya merancang untuk membuka 40 lagi cawangan pada tahun ini, yang dianggarkan menelan kos RM1 juta bagi setiap cawangan.
