Subang Jaya – Yayasan PEKEMA hari ini meraikan seramai lebih 500 orang anak-anak asnaf dan tahfiz bagi membeli kelengkapan pakaian menyambut Aidilfitri yang bakal tiba di Pusat Beli-Belah Mydin disini hari ini.
Presidennya, Datuk Hj Mohamed Nazari Noordin, berkata program yang menjadi acara tahunan bertujuan berkongsi rezeki dan menggembirakan golongan yang memerlukan itu.

“Bagi tahun ini, Yayasan PEKEMA memperuntukkan RM200 seorang bagi membeli belah pakaian raya yang diinginkan.
“Kita memilih Mydin sebagai lokasi membeli belah kerana setiap barangan yang ada disini adalah daripada produk dan usahawan IKS bumiputera, secara tidak langsung kita membantu meningkatkan ekonomi tempatan, setiap tahun seperti sebelum ini juga, Mydin menjadi pilihan kami” katanya dalam sidang media selepas penyerahan baucer membeli belah kepada anak-anak asnaf.
Tambahnya, sumbangan ini sekurang-kurangnya dapat membantu meringankan sedikit beban mereka sambil menghidupkan suasana berhari raya serta menyemarakkan keindahan berinfak di bulan Ramadan.
Tambahnya, pada tahun ini Yayasan PEKEMA memperuntukkan RM600,000 bagi membantu anak-anak asnaf dan pelajar tahfiz di seluruh negara membuat persiapan hari raya.
Tidak hanya tertumpu di Selangor, bantuan ini turut diperluaskan ke beberapa negeri lain termasuk Sabah, Sarawak, Negeri Sembilan, Johor, Pulau Pinang, Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu, dan Pahang bagi memastikan lebih ramai yang dapat merasai manfaatnya.

Antara penerima terdiri dari anak-anak asnaf dan pelajar tahfiz dari pelbagai institusi, termasuk Persatuan Kebajikan Al Rayyan Malaysia (OKU Mata), Masjid Hidayatul Muttaqin, Madrasah Quran Darussalam (MQDS), dan Maahad Tahfiz Miftahul Ulum, turut disantuni dalam program berkenaan.
Sementara itu, Dongfeng Cars Malaysia edaran anak syarikat PEKEMA, Central Auto Distributors Bhd turut mengambil kesempatan untuk mempamerkan model kenderaan elektrik (EV) baharu mereka, Dongfeng Box, di Mydin Mall USJ, bagi memberikan peluang kepada orang ramai untuk melihat dan merasai sendiri keunikan serta teknologi terkini EV tersebut.
Dongfeng memperkenalkan tawaran istimewa bagi dua model EV mereka, Dongfeng E2dan Dongfeng E3, dengan harga bermula RM78,888 dan RM88,888, namun dalam unit yang terhad.

Inisiatif ini selaras dengan komitmen PEKEMA dalam menggalakkan penggunaan EV di Malaysia dan mendidik masyarakat mengenai kelebihan teknologi hijau untuk masa depan yang lebih lestari.
Turut hadir pada program tersebut adalah Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin), Datuk Ameer Ali Mydin dan isteri serta Timbalan Presiden PEKEMA, Dato’ Hj Wan Sazrudeen Dato’ Hj Wan Zaid.
