Shah Alam – Jenama fesyen tempatan, QHIAM mula dikenali dengan koleksi yang masih mengekalkan warisan tradisi baju melayu teluk belanga dengan material fabrik kapas.
Pengasasnya, Adam berkata, dalam setiap helaian pakaian yang dihasilkan oleh Qhiam, terdapat elemen tradisional yang diperbaharui dengan suntikan moden sesuai konsep yang seiring dengan personaliti dan gaya yang unik.

“Qhiam bukan sekadar jenama pakaian, ia adalah satu pergerakan budaya yang menggalakkan pemakainya untuk mengekspresikan diri melalui fesyen dan inovasi.
“Kami mempunyai identiti tersendiri dengan menggunakan material cotton sesuai dengan cuaca negara kita dan semua peringkat umur, bukan sahaja tertumpu untuk gaya pada musim perayaan sahaja malah Qhiam juga boleh dipakai untuk gaya kasual” katanya kepada Malaysianews TV.
Jelasnya, setiap pilihan reka bentuk, material dan gaya potongan adalah melalui kesepakatan tenaga kerja jenama ini ditambah restu ibunya yang turut dititik beratkan.
“Saya menjadikan ibu sebagai rujukan fesyen lebih-lebih lagi bagi koleksi Sendja iaitu pakaian wanita.
“Beliau banyak memberikan pandangan dan idea tentang potongan sesuai untuk semua peringkat umur yang masih mengekalkan ciri-ciri kesopanan dan dalam masa sama masih mengikut citarasa masa kini” ujarnya.

Jenama yang diasaskan pada tahun 2024 itu, terus mengorak langkah dengan melancarkan koleksi pakaian wanita, Sendja khusus untuk memenuhi cita rasa generasi muda, terutamanya Gen Z.
Dengan rekaan yang lebih berani, ekspresif, dan dinamik, Sendja mempersembahkan fesyen kontemporari yang segar serta inklusif merentas kaum dan budaya.
Berbeza dengan Qhiam yang berakar pada tradisi dengan sentuhan moden, Sendja membawa dimensi yang lebih berwarna-warni dan mengikuti arus trend semasa tanpa meninggalkan nilai estetika berkualiti.
Jenama ini juga turut mempunyai koleksi saiz besar sehingga 4XL.
“Kita nak semua orang dapat merasa menggayakan koleksi Qhiam dan Insya Allah untuk perancangan masa hadapan kita akan menambah saiz extra plus size” katanya lagi.
Pengurus Jenama dan Pemasaran, Haries Isa menambah, Qhiam bakal membuka sebuah lagi cawangan butiknya di pusat membeli belah IOI Putrajaya selepas Aidilfitri ini.
“Walaupun jenama ini masih baru, tetapi tahun ini lonjakan dari segi jualan amat memberangsangkan.
“Kami sentiasa mengambil pandangan dan cadangan dari para pelanggan untuk penambah baikkan dan memastikan Qhiam akan terus menjadi pilihan setiap orang” katanya.
Tambahnya lagi, para pelanggan boleh mendapatkan koleksi jenama ini di butik mereka yang terletak di Seksyen 13, Shah Alam dan pop up di Alamanda. Selain itu, boleh juga melalui pembelian di laman web qhiam.com.my .
Meet & Greet Amy Search
Para pelanggan yang bertuah diraikan dalam satu majlis bertemu duta jenama, Datuk Amy Search di butik Qhiam, Shah Alam.
Pelanggan berpeluang bertemu dan bermesra bersama Datuk Amy Search disamping menerima sehelai kameja T dengan gambar beliau ketika era 80-an berserta tanda tangannya.

“Kita memilih Datuk Amy Search sebagai antara duta jenama kerana personalitinya yang bersahaja disamping beliau sendiri meminati baju melayu teluk belanga.
“Ini juga menunjukkan jenama Qhiam bukan sahaja sesuai untuk golongan muda tetapi golongan yang berusia” jelas Adam.

Sebagai seorang pemuzik dan ikon seni, Datuk Amy Search bukan sahaja dikenali dengan suara uniknya, tetapi juga dengan penampilannya yang berkarakter serta apresiasi mendalam terhadap elemen budaya tempatan.
Dengan pengaruhnya dalam dunia muzik dan fesyen, kehadiran Datuk Amy Search sebagai duta jenama ini mengukuhkan lagi mesej Qhiam tentang ekspresi diri dan kepelbagaian dalam fesyen.
Duta Jenama dan Kempen ‘Sama’
Selain itu, jenama ini turut bekerjasama dengan selebriti lain antaranya; Naim Daniel, Noh Salleh, Iedil Putra, Leaism dan komuniti kreatif, SneakerLAH serta Peak.KL.

Dalam masa sama, Qhiam turut memperkenalkan kempen ‘Sama’, yang bertujuan untuk meraikan kepelbagaian dalam satu identiti yang sama. Melalui fesyen, kempen ini menghubungkan generasi berbeza dengan menampilkan koleksi istimewa seperti, Koleksi Tangsi, Koleksi Galur, Koleksi Antara dan Koleksi Temu.

Kempen ini dijangka membawa revolusi dalam dunia fesyen perayaan dengan memberikan makna lebih mendalam dalam setiap helaian pakaian yang dihasilkan.
