Petaling Jaya – Program SAY ASPIRE Final Pitch Edisi Ke-7 terus menjadi wadah penting dalam membantu usahawan tempatan mengembangkan perniagaan ke peringkat antarabangsa.
Program anjuran Selangor Youth Community (SAY) itu menghimpunkan 10 usahawan finalis yang berpeluang membentangkan idea, model perniagaan serta potensi pengembangan syarikat masing-masing ke pasaran global.
Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dalam titahnya, menzahirkan penghargaan terhadap kesungguhan dan keberanian para finalis yang tampil mempertahankan idea serta strategi perniagaan mereka.
Menurut baginda, usaha yang ditunjukkan para usahawan berkenaan membuktikan wujudnya semangat keusahawanan yang tinggi dalam kalangan generasi muda tempatan.

Baginda turut merakamkan ucapan tahniah kepada para pemenang atas kejayaan yang diraih, selain memuji kesemua finalis yang memberikan saingan terbaik sepanjang program tersebut.
Program ini secara langsung menyerlahkan sokongan terhadap usaha memperkasa golongan usahawan tempatan untuk mengembangkan perniagaan ke peringkat lebih luas.
RHJ Tijarah Sdn Bhd muncul sebagai pemenang tempat pertama, sekali gus membawa pulang piala dan sijil penghargaan daripada SAY serta geran perniagaan bernilai RM10,000.
Lebih menarik, pengasasnya, Siti Hajar Harun menyatakan kemenanganya itu turut membuka peluang untuk mengembangkan perniagaanya ke beberapa negara terpilih bagi tujuan promosi dan rundingan perniagaan.
Beliau juga berpeluang menyertai SAY ASPIRE+, iaitu sesi mentoring eksklusif, selain menerima reruai perniagaan percuma di Malaysia International Halal Showcase (MIHAS).

Pemenang turut berpeluang membina jaringan kerjasama serta mendapatkan akses secara terus kepada Malaysia External Trade Development Corporation (MATRADE), sekali gus membuka ruang lebih besar untuk meneroka pasaran antarabangsa.
SAY ASPIRE dilihat bukan sekadar medan pertandingan, sebaliknya menjadi platform untuk usahawan meningkatkan keyakinan, memperkukuh model perniagaan dan membina jaringan yang mampu membantu mereka melangkah ke pasaran global.
Melalui inisiatif seperti SAY ASPIRE, lebih ramai usahawan Selangor diharap berani meneroka pasaran baharu serta membawa produk dan jenama tempatan ke pentas antarabangsa.

Baginda turut berharap SAY ASPIRE dapat terus berperanan sebagai platform pemangkin kepada lebih ramai usahawan Selangor untuk memperluaskan perniagaan, meningkatkan daya saing serta membawa produk dan jenama tempatan menembusi pasaran antarabangsa.
Inisiatif ini juga dilihat selari dengan keperluan memperkukuh ekosistem keusahawanan negeri dengan memberi ruang kepada usahawan tempatan untuk mengembangkan potensi perniagaan mereka ke peringkat yang lebih luas.
