Kajang – Syarikat produk kosmetik Dr Anne Skincare yang sebelum ini pernah dinobatkan sebagai juara program Aspire Komuniti Belia Selangor (SAY) edisi kelima, melebarkan empayarnya dengan pelancaran ibu pejabatnya yang baharu disini hari ini.
Majlis pelancaran ini turut diserikan dengan kehadiran Duli Yang Teramat Mulia Tengku Amir Shah Ibni Sultan
Sharafuddin Idris Shah Alhaj, Raja Muda Selangor yang memberikan sokongan penuh terhadap pencapaian tempatan dan usaha memperkasa usahawan wanita dalam industri kecantikan.

Pengasasnya, Dr. Nurhidayah Roslan berkata, pelancaran ibu pejabat baharu ini dijadikan pemangkin semangat untuk dirinya membawa jenama ini ke peringkat global.
“Jenama Dr Anne Skincare telah mendapt pengiktirafan Malaysia Book of Records, dan kini kami bersedia untuk mengorak langkah menembusi pasaran antarabangsa bermula dengan Singapura, Brunei dan Turki.
Menceritakan berkenaan jenama ini, jelasnya produk Dr Anne Skincare tercetus daripada pengalaman beliau sendiri. Menurut Dr Anne, beliau pernah mengalami masalah kulit yang teruk ketika kecil.
“Semasa kecil saya pernah mengalami masalah kulit. Saya ada ekzema yang teruk. Bila dah besar saya susah nak mencari produk penjagaan kulit yang sesuai. Berbekalkan pengalaman dalam bidang kejuruteraan genetik, saya menceburi bidang kecantikan. Dengan ilmu yang ada saya dapat memahami serba sedikit bagaimana untuk memperbaiki sel kulit termasuklah bahan-bahan yang memberi kesan yang baik kepada kulit. Dari situlah saya mula menghasilkan formulasi produk penjagaan kulit untuk diri sendiri.
“Apabila sering berkongsi di media sosial tentang produk yang dihasilkan, saya mula mendapat permintaan untuk membantu mereka yang ada masalah kulit sama seperti saya. Dari situlah tercetusnya Dr Anne Skincare.”

Mengangkat motto “From Lab To Love: The Science of Skincare That Cares”, Dr. Anne Skincare terus berpegang kepada prinsip sains dan keikhlasan dalam menghasilkan produk yang selamat, berkesan dan beretika tanpa mengeksploitasi ketidakyakinan pelanggan.
“Kami mahu membawa jenama Malaysia ini ke dunia, bukan hanya sekadar untuk keuntungan, tetapi juga untuk memberi peluang kepada lebih ramai orang dalam negara ini. Kami mahu mengurangkan kebocoran ekonomi dengan menggalakkan produk tempatan diterima di pasaran antarabangsa,” ujarnya lagi.
Menurut beliau lagi, produk Dr Anne Skincare mempunyai dua kelebihan berbanding produk-produk lain di pasaran. “Pertama, produk ini sememangnya halal bukan hanya untuk pengguna Muslim bahkan semua. Kedua, produk ini ternyata berkesan. Ia sebenarnya datang daripada Advanced Formulation. Produk-produk yang berstatus halal mungkin tidak banyak yang memfokuskan kepada Advanced Formulation kerana mengikut arus teknologi. Dr Anne Skincare adalah pertama di Malaysia yang mengeluarkan produk mengandungi advanced metabiotic” katanya.
Di samping pelancaran ibu pejabat baharu, Dr. Anne Skincare turut mengetengahkan inisiatif kitar semula dalam acara tersebut. Pengunjung yang membawa botol lama produk Dr. Anne Skincare diberi ganjaran berupa produk baharu. Ini adalah sebahagian daripada usaha jenama ini untuk meningkatkan kesedaran mengenai tanggungjawab sosial dalam kalangan pengguna.

Lebih tujuh tahun berada di pasaran, antara pencapaian terbaik pernah diterima Dr Anne Skincare ialah NanoTrusted Certification Award daripada Nano Malaysia, dan Superbrand Award. Baru-baru ini, Dr Anne turut terpilih sebagai salah seorang penerima China-ASEAN Young Leaders Award. Anugerah ini diberikan kepada hanya 30 penerima (bawah 45 tahun) yang dipilih melalui saringan ketat dari 12 negara ASEAN.
“Saya berpegang kepada dua perkataan iaitu stay focus. Dalam perjalanan nak mencapai sesuatu, kita bermula dengan satu impian. Apabila memiliki perniagaan sendiri, matlamat saya ialah untuk mengembangkannya lagi dan membantu lebih ramai orang untuk dapat manfaat. Saya juga mahu berkongsi rezeki dengan menyediakan lebih banyak peluang perniagaan.” tambahnya.
Sebagai penghargaan kepada sokongan Tengku Amir Shah, Dr. Anne turut mengungkapkan rasa terima kasih atas peluang yang diberikan melalui program SAY Aspire yang disokong oleh Tengku Amir. “Saya sangat terhutang budi kepada Tengku Amir dan Yayasan Say Aspire kerana memberi peluang kepada kami untuk berkembang dan belajar. Program ini bukan hanya mengajar kami cara berniaga, tetapi juga memberi sokongan yang sangat berharga,” tambah Dr. Anne.
