Cyberjaya – Syarikat yang berasaskan penyelidikan, PT Bio Co. Ltd dari Jepun melancarkan penyelidikan mengenai penghasilan telur mesra alahan dan bakal diperluaskan di seluruh Malaysia.
PT Bio yang telah dipilih untuk Projek Hiroshima Prefecture memfokuskan kepada penjanaan projek melalui kerjasama dengan syarikat pemula dan Centre of Garage Malaysia (COGMY) bertujuan untuk mencipta perniagaan baharu melalui kerjasama dengan memanfaatkan kepakaran dalam penyelidikan dan pemasaran bioteknologi.

Pengarahnya, Hideaki Itami berkata, projek ‘Egg For All’ merupakan penyelidikan bioteknologi yang menawarkan penghasilan telur yang mengandungi kurang alergen bagi membolehkan sesiapa sahaja menikmatinya tanpa sebarang masalah.
“Kita ingin semua orang mampu menghasilkan hidangan yang lazat mengandungi telur kepada semua atau pesakit yang mengalami alahan telur.
“Telur yang dihasilkan tetap mempunyai zat dan nutrien yang sama seperti telur biasa cuma ia tidak mengandungi alergen yang memudaratkan alahan” katanya.
Jelasnya, alahan telur merupakan alahan makanan yang biasa berlaku oleh sesiapa sahaja. Ia berlaku apabila sistem imun badan (khususnya antibodi IgE) bertindak balas terhadap protein yang terdapat dalam telur.

“Antara protein alergen, ovomucoid (OVM) adalah tahan haba dan kekal aktif walaupun selepas dipanaskan dan dimasak dan sekaligus menyebabkan alahan.
“Melalui penyelidikan ini, kami menggunakan teknologi ‘Knock-out‘ dimana gen OVM disingkirkan dengan penyuntingan genom (Genome editing) daripada ayam seterusnya menghasilkan telur tanpa OVM (OVM free egg) dan mampu dimakan oleh sesiapa sahaja tanpa alahan.
“Pengganti telur berasaskan tumbuhan telah dibangunkan untuk mengelakkan alergen tetapi tidak boleh meniru rasa atau tekstur asal telur sebenar namun PtBio boleh menyediakan telur bebas ovomucoid (telur pengurangan alergen) serta membolehkan pengeluaran produk telur mesra alahan” ujarnya.
Tambahnya lagi, produk ini melalui proses penyelidikan sekurang-kurangnya 3 tahun dan bakal dilancarkan pada tahun 2027 nanti.

Jelasnya, teknologi ini tidak memberi kesan kepada pertumbuhan ayam dan tiada alergen kekal selepas telur dimasak atau dibakar.
“Telur Platinum yang dihasilkan ini mempunyai rasa dan tekstur yang sama seperti telur biasa manakala pengesahan keselamatan sedang dijalankan melalui ujian serum dan ujian klinikal.
“Kita ingin membantu masyarakat menikmati telur mesra alahan bebas OVM dengan beralih daripada ‘mengelakkan telur’ kepada ‘menikmati telur’ untuk semua orang” katanya lagi.
Projek penyelidikan ini juga telah dipilih untuk SBIR Fasa 3: Projek Promosi Penyelidikan Inovasi Perniagaan Kecil Kementerian Pertanian, Perhutanan dan Perikanan Jepun.
PT Bio juga mengalu-alukan peluang kerjasama dengan syarikat, institusi penyelidikan dan profesional penjagaan kesihatan yang sesuai untuk berkerjasama memberi impak yang ketara kepada kehidupan masyarakat yang terjejas oleh alahan telur.
