GOOGLE mengesahkan versi akhir Android 16 akan dilancarkan pada bulan Jun ini menerusi episod The Android Show di YouTube pagi tadi.
Versi akhir Android 16 sudah lama dinantikan sejak program Android 16 Beta dimulakan pada Januari yang lalu.
Walaupun Android 16 dilancarkan Jun, kemas kini Material 3 Expressive yang dilancarkan secara rasmi juga pagi ini hanya akan tiba ke peranti Pixel selepas bulan Jun.
Besar kemungkinan ia akan tiba terlebih dahulu pada siri Pixel 10 yang dikhabarkan akan tiba seawal Ogos.
Tahun ini pembangunan Android 16 dimulakan lebih awal bagi membolehkan peranti Android yang dilancarkan pada H2 2025 akan menggunakan sistem operasi baharu.
Tahun lalu siri Pixel 9 dikecam kerana masih menggunakan Android 14 sebelum dikemas kini ke Android 15 beberapa bulan selepas dilancarkan.
Pengguna merungut ini membuatkan seakan mereka menerima kemas kini 6 versi Android sahaja dan bukannya 7 seperti dijanjikan.
