GOMBAK — Seorang pempengaruh media sosial yang dikenali sebagai “CEO Batu” telah ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung dakwaan menghantar mesej berunsur lucah kepada seorang remaja perempuan berusia 14 tahun.
Lelaki berusia 22 tahun itu hadir menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak semalam dan telah ditahan reman hari ini bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kes berkenaan.
Kes ini mula mendapat perhatian selepas penyanyi rap dan aktivis sosial, Caprice, mendedahkan beberapa tangkap layar mesej yang didakwa dihantar oleh CEO Batu kepada remaja terbabit.
Mesej tersebut bukan sahaja berunsur lucah, malah turut disertakan dengan gambar tidak senonoh.
Difahamkan, ibu kepada remaja terbabit menghubungi Caprice untuk meminta bantuan selepas anaknya didakwa menjadi mangsa gangguan seksual oleh pempengaruh berkenaan.
Dalam perbualan yang dikongsikan, CEO Batu mendakwa gambar tersebut dihantar secara tidak sengaja dan sepatutnya ditujukan kepada teman wanitanya.
Siasatan lanjut sedang dijalankan oleh pihak berkuasa bagi menentukan tindakan seterusnya terhadap individu terbabit.
