AMN00851

Seramai 51 usahawan dan tokoh daripada pelbagai bidang menerima pengiktirafan dalam Anugerah Tertinggi Usahawan Islam atau ‘Islamic Distinguished Enterprise Award’ (IDEA 2025), pada Sabtu malam.

Memasuki edisi ke-2, sebanyak lima kategori anugerah diperkenalkan iaitu Crown of Commerce Brand Award, Distinguished Halal Brand Award, Distinguished Everlast Brand Award, Distinguished Consumer Confidence Award dan Distinguished Quality Product Award.

Majlis penganugerahan ini dianjurkan oleh KNKV Group dan diiktiraf secara rasmi oleh Dewan Perniagaan Muslim Insiders, dengan sokongan padu daripada CTOS Digital Berhad selaku rakan semakan, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) sebagai rakan strategik akademik, firma guaman Hafarizam, Wan & Aisha Mubarak (HWAM) sebagai rakan guaman rasmi, serta Yayasan Mihrab sebagai rakan kebajikan.

Penerima dinilai berdasarkan komitmen dan tanggungjawab mereka yang mengamalkan prinsip perniagaan moden berlandaskan etika Islam, sekali gus menjadi inspirasi kepada usahawan lain.

Presiden Dewan Perniagaan Muslim Insiders, Profesor (Adj) Adam Richman berkata, penganjuran kali ini bukan semata-mata untuk meraikan kejayaan syarikat tetapi untuk menginspirasikan lebih banyak perniagaan agar berani mengamalkan prinsip syariah dalam operasi harian mereka.

“Contohnya, penggunaan CTOS dalam proses penjurian adalah selari dengan konsep tabayyun yang disebut dalam Surah Al-Hujurat, ayat 6, satu langkah kecil yang membawa impak besar kepada pembentukan ekonomi ummah yang berintegriti,” katanya.

Antara penerima anugerah adalah jenama yang tidak asing lagi dalam industri pelancongan khususnya dalam pengurusan jemaah umrah dan haji, Andalusia Travel and Tour Sdn Bhd; penyedia perkhidmatan pelaksanaan ibadah korban dan aqiqah, EZ Qurban; syarikat pengeluar dan pengedar beras terkemuka di Malaysia, Jasmine Food Corporation Sdn Bhd dan pencetus trend kudapan bijirin choco-tub, Nims Adeliciousz Sdn Bhd.

Jenama lain yang mendapat pengiktirafan adalah Ajinomoto Sdn Bhd, Mamee-Double Decker (M) Sdb Bhd, Sugarbomb Worldwide Sdn Bhd, Delima Oil Products, Ikhlas Com Travel & Umrah Sdn Bhd dan She Dazzle Empire Sdn Bhd dan banyak lagi.

Jenama antarabangsa iaitu Muslim Pro (Singapura), Human Appeal International (Australia) dan ZTE (China) turut mendapat pengiktirafan masing-masing menerusi kategori Distinguished Halal Brand Award, Distinguished Humanitarian Brand Award dan Distinguished Quality Product Award.

Turut hadir, Tunku Laksamana Negeri Sembilan, Yang Amat Mulia Tunku Datuk Seri Utama Naquiyuddin ibni Almarhum Tuanku Ja’afar dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan.

Leave a Reply