IMG_20250523_205924

MAKKAH – Jemaah mengerjakan ibadat haji di Tanah Suci yang perlu bantuan kini boleh menggunakan perkhidmatan teknologi tinggi baharu menggabungkan tradisi Islam dengan perkembangan terkini dalam kecerdasan buatan (AI).

Arab News melaporkan, ia adalah sebahagian daripada persiapan berterusan Arab Saudi bagi memudahkan jemaah menjelang ibadat haji di Makkah.

Presiden Hal Ehwal Agama di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi semalam melancarkan versi kedua yang dikemas kini, Robot Manarat Al-Haramain, yang dijana menerusi kuasa AI.

Difahamkan, ia adalah sebahagian daripada inisiatif bertujuan memanfaatkan kuasa teknologi canggih untuk meningkatkan pengalaman rohani jemaah haji.

Menurut Agensi Berita Arab Saudi (SPA), robot itu akan bertindak sebagai titik rujukan untuk pertanyaan agama di Masjidil Haram.

ia juga boleh menghubungkan jemaah dan pelawat lain untuk membuat panggilan video kepada mufti yang akan membantu menjawab sebarang soalan mengenai ibadah haji.

Versi robot dan perisian yang dikemas kini itu menampilkan reka bentuk diilhamkan daripada motif serta seni bina Islam tradisional di dua masjid iaitu Masjidil Haram di Makkah dan Masjid Nabawi di Madinah.

Ia menggabungkan keaslian, kemodenan dan teknologi canggih untuk membantu meningkatkan pengalaman jemaah haji dengan menyediakan akses mudah kepada maklumat.

Ibadat haji adalah satu daripada rukun Islam dengan setiap umat Islam diwajibkan untuk melaksanakannya sekurang-kurangnya sekali dalam seumur hidup jika mereka mampu dari segi fizikal dan kewangan.

Ia dijangka bermula pada 4 Jun dan berakhir 9 Jun depan. Jemaah haji dari seluruh dunia mula tiba di Arab Saudi bagi menunaikan ibadat itu sejak awal bulan ini. – AGENSI

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading