IQOO secara rasmi melancarkan Neo 10 untuk pasaran Malaysia, menjadikannya antara telefon terawal di negara ini yang dikuasakan cip Snapdragon 8s Gen 4. Ia menyasarkan pengguna yang mahukan prestasi tinggi, skrin berkualiti dan bateri besar, tanpa perlu belanja besar.
Model ini hadir dengan skrin 6.78 inci AMOLED 1.5K, kadar segar semula 144Hz, dan cip Q1 Intelligent Display untuk pengalaman visual yang lebih tajam. Gabungan RAM sehingga 16GB LPDDR5X Ultra dan storan 512GB UFS 4.1 memberi ruang luas untuk multitugas dan gaming.
Di bahagian kamera, iQOO Neo 10 membawakan sensor utama 50MP dengan OIS, kamera ultralebar 8MP dan kamera hadapan 32MP. Ia turut menjalankan FuntouchOS 15 berasaskan Android 15 dan menyertakan pelbagai fungsi AI seperti AI Eraser, Live Call Translation dan Circle to Search.


Dikuasakan Oleh Cip Dual Flagship Pertama Di Malaysia
Apa yang benar-benar membezakan iQOO Neo 10 daripada telefon pintar lain ialah keupayaan dual-chip yang menggabungkan dua komponen penting: Snapdragon 8s Gen 4 dan cip Q1 Supercomputing. Gabungan ini dicipta khas untuk memberikan pengalaman penggunaan yang pantas, stabil dan lancar, terutama buat peminat permainan mudah alih yang mementingkan prestasi tanpa gangguan.
Dengan sokongan interpolasi sehingga 144 FPS, pemain akan menikmati paparan grafik yang amat lancar dan responsif, seolah-olah berada dalam dunia permainan sebenar. Tambahan pula, ciri Game Super Resolution akan mempertingkatkan kualiti grafik melebihi resolusi asal paparan, menjadikan visual permainan lebih hidup dan imersif.

Bagi kaki layan drama dan filem pula, cip Q1 bukan sekadar untuk permainan—ia juga mengoptimumkan tontonan video di platform seperti YouTube, Netflix, dan Amazon dengan kadar bingkai lebih tinggi, paparan lebih jelas, dan penggunaan tenaga yang lebih efisien. Semua ini menyumbang kepada prestasi telefon yang lebih tahan lama dan konsisten.
Rekaan Penuh Gaya Dengan Dua Pilihan Warna Menawan
Tidak cukup dengan kuasa dalaman, iQOO Neo 10 turut mengetengahkan rekaan yang bergaya dan elegan. Hadir dalam dua pilihan warna eksklusif iaitu Astral Black yang tampak sofistikated dan Desert Gold yang memberikan aura premium dengan kilauan halus, telefon ini pasti menjadi tumpuan setiap kali dikeluarkan dari poket.

Sama ada anda di kampus, di pejabat atau lepak hujung minggu, iQOO Neo 10 akan memberikan sentuhan kelas tersendiri kepada gaya anda.
Kamera Padu
Sistem kamera utama peranti ini menggabungkan sensor 50MP dengan sokongan OIS dan kamera tambahan 8MP. Sementara itu, kamera hadapan beresolusi 32MP ditawarkan untuk pengalaman swafoto yang lebih baik. Selain itu, peranti ini dilengkapi dengan bateri besar 7,000mAh yang menyokong pengecasan pantas 120W Flash Charge. Ia juga menawarkan fungsi NFC, sistem audio stereo dan penarafan IP65 bagi ketahanan tambahan.


Harga dan tawaran:
- RM1,999 untuk model 12GB + 256GB (eksklusif dalam talian)
- RM2,199 untuk model 16GB + 512GB
- Hadiah percuma bernilai hingga RM628
- Diskaun RM100 untuk pelajar dan pensyarah
- Tempoh promosi: Kini hingga 9 Julai 2025
