KUALA LUMPUR – Landskap pelaburan hartanah di Malaysia dijangka mengalami transformasi besar susulan pelancaran dana pelaburan berjumlah RM150 juta, hasil kerjasama strategik antara Crewstone International Sdn Bhd, syarikat ekuiti swasta berlesen, dan konglomerat hartanah terkemuka, Vince Group.
Dana pelaburan yang dinamakan Vince Group Vision Fund LP itu dilancarkan dengan matlamat membina satu platform pelaburan hartanah yang lebih pintar, mudah diakses dan berimpak tinggi, khususnya menyasarkan pelabur institusi dan pelabur berkelayakan.
Lebih membanggakan, dalam tempoh kurang dua minggu selepas dana itu didaftarkan, pasukan pengurusan berjaya mengumpul komitmen pelaburan berjumlah RM35 juta. Pencapaian ini menjadi bukti keyakinan pasaran terhadap kekuatan sinergi antara dua entiti berpengalaman ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Crewstone International, Ahmad Izmir, berkata kerjasama tersebut menetapkan penanda aras baharu dalam sektor pelaburan hartanah negara.
“Dengan menggabungkan kepakaran kami dalam penstrukturan pelaburan bersama kekuatan ekosistem hartanah Vince Group, kami membuka jalan ke arah masa depan pelaburan yang lebih mampan dan berskala besar,” katanya dalam satu kenyataan media.
Perjanjian kerjasama antara kedua-dua pihak dimeterai pada 19 Mac lalu oleh Ahmad Izmir dan Pengarah Urusan Vince Group, Datuk Vincent Nee, manakala pendaftaran rasmi dana tersebut oleh Labuan Financial Services Authority (LFSA) disempurnakan kurang sebulan selepas itu.
Majlis pelancaran turut disaksikan oleh tokoh industri termasuk Pengerusi Vince Group, Tunku Prof Datuk Fauzi, serta Ketua Pegawai Pelaburan Crewstone, Keng Fai.
Fokus Kepada Pulangan Optimum
Dana ini akan memberi fokus kepada pelaburan dalam peluang hartanah berpulangan tinggi di seluruh negara yang telah melalui proses penilaian risiko rapi. Keutamaan akan diberikan kepada pemeliharaan modal dan potensi pulangan optimum, selaras dengan aspirasi pelabur moden yang mencari keseimbangan antara risiko dan ganjaran.
Datuk Vincent Nee menyifatkan pelancaran dana tersebut sebagai langkah penting ke arah pembentukan satu ekosistem hartanah menyeluruh yang memenuhi kehendak pelabur masa kini.
“RM150 juta ini bukan sekadar satu instrumen kewangan. Ia adalah permulaan kepada revolusi cara pelaburan hartanah dirancang dan dilaksanakan di Asia Tenggara,” ujarnya.

Beliau menambah bahawa platform tersebut akan dilengkapi perkhidmatan menyeluruh merangkumi pra-jualan dan pasca-jualan bertaraf tinggi, sekali gus menawarkan pengalaman pelaburan yang lebih lancar dan holistik.
Ekosistem pelaburan yang dibangunkan dijangka merintis pendekatan baharu dalam pasaran hartanah tempatan, sekaligus memacu pertumbuhan mampan dan memberikan impak positif kepada pembangunan bandar dan komuniti.
Kejayaan awal dalam pengumpulan dana serta pelaksanaan pantas inisiatif ini menggambarkan daya tarikan pelaburan berasaskan hartanah, terutamanya apabila dilaksanakan secara strategik, telus dan berfokuskan impak jangka panjang.
Inisiatif ini turut mencerminkan aspirasi Crewstone dan Vince Group dalam memperkasakan pelaburan alternatif yang mampu memberikan pulangan kompetitif dalam landskap pasaran yang semakin mencabar.
