UKK09934

Kuala Lumpur – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, menegaskan bahawa kerjasama antarabangsa amat penting dalam usaha ASEAN merealisasikan masa depan tenaga yang mampan, bersih dan selamat.

Menurut beliau, untuk mencapai aspirasi tenaga mampan, negara-negara ASEAN perlu mengguna pakai teknologi inovatif, memperkukuh infrastruktur tenaga, serta menerima sokongan teknikal dan pelaburan daripada rakan dialog serta organisasi antarabangsa.

“Kepakaran, kemajuan teknologi dan sokongan pelaburan daripada rakan dialog ASEAN dan organisasi global adalah penting bagi menangani cabaran yang kompleks dan mencapai matlamat tenaga serantau,” katanya ketika berucap dalam majlis makan malam alu-aluan Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan ASEAN ke-43 Mengenai Tenaga (ASEAN SOME-43) di sini malam tadi.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, serta kira-kira 250 delegasi dari dalam dan luar negara.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, kerjasama pelbagai pihak merupakan pemangkin utama untuk mempercepatkan kemajuan ke arah masa depan tenaga yang lebih bersih dan mesra alam.

“Dengan bekerjasama erat, berkongsi ilmu dan memanfaatkan kekuatan masing-masing, kita boleh membuka potensi besar dalam sektor tenaga dan mendorong perubahan yang bermakna untuk masa depan,” ujarnya lagi.

Tambah beliau, Malaysia terus komited dalam proses peralihan tenaga, melalui pelbagai usaha seperti meningkatkan kapasiti tenaga boleh baharu, meningkatkan kecekapan penggunaan tenaga, meneroka teknologi tenaga termaju dan menyokong ekonomi rendah karbon.

Mesyuarat ASEAN-SOME ke-43 ini bermula pada 17 Jun dan berlangsung sehingga 18 Jun 2025, diadakan dengan penglibatan kira-kira 250 delegasi yang terdiri daripada pegawai kanan tenaga, wakil Sekretariat ASEAN serta Pusat Tenaga ASEAN (ACE).

Kesemua 10 negara anggota ASEAN turut serta dalam mesyuarat ini, iaitu antaranya Malaysia, Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

Manakala Timor-Leste hadir sebagai pemerhati, menandakan kesungguhan negara tersebut untuk mendekati kerjasama serantau dalam isu tenaga.

Mesyuarat ini turut disertai oleh rakan dialog utama ASEAN termasuk China, Jepun, Korea Selatan, Rusia dan Amerika Syarikat.

Selain itu, turut hadir wakil dari beberapa organisasi antarabangsa penting, termasuk Agensi Tenaga Boleh Diperbaharui Antarabangsa (IRENA), Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA), Institut Penyelidikan Ekonomi ASEAN dan Asia Timur (ERIA), Bank Pembangunan Asia (ADB) serta Bank Dunia.

Kehadiran luas ini mencerminkan komitmen global terhadap isu tenaga mampan dan memperkukuh peranan ASEAN dalam ekosistem tenaga dunia.

Mesyuarat ASEAN-SOME ke-43 bukan sahaja membuka ruang perbincangan teknikal dan dasar, malah menjadi platform penting dalam merintis kerjasama strategik untuk membina masa depan tenaga yang mampan, inovatif dan inklusif bagi rantau ini dan dunia.

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading