IMG_20250620_193538_653

SERDANG – Program Infaq 1,000 Botol Minyak Hitam anjuran Dania Garage mencetuskan suasana luar biasa di Universiti Putra Malaysia (UPM) apabila ratusan pelajar hadir membanjiri lokasi agihan bagi mendapatkan sumbangan percuma tersebut.

Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) ini dilaksanakan bagi membantu golongan pelajar yang berdepan dengan kekangan kewangan, khususnya melibatkan kos penyelenggaraan motorsikal.

Menurut Ketua Pegawai Operasi Dania Garage, Mohammad Muizz Mohd Munawir, lebih 1,000 botol minyak hitam telah diagihkan hasil kerjasama strategik bersama Petronas Sprinta dan pasukan teknikal Abang Minyak Hitam Jalanan.

“Saya sendiri pernah bergelar pelajar, jadi saya faham tidak semua mampu untuk menampung kos penyelenggaraan motosikal atau kereta. Program ini adalah antara cara kami menyumbang kepada komuniti, walaupun sedikit,” katanya ketika ditemui di lokasi program di Dataran Merpati, UPM.

Daripada jumlah keseluruhan itu, seramai 65 pelajar terawal turut menerima khidmat pemasangan minyak hitam secara percuma yang dijalankan oleh pasukan Abang Minyak Hitam Jalanan, manakala selebihnya membawa pulang sumbangan untuk digunakan kemudian.

Tambah Muizz, UPM menjadi lokasi pertama pelaksanaan program tersebut memandangkan universiti berkenaan menunjukkan minat yang tinggi sebaik sahaja program diumumkan.

“Respon dari pihak UPM amat positif dan pantas. Maka kami memilih untuk memulakan inisiatif ini di sini. Sekiranya terdapat permintaan serta kerjasama dari universiti atau agensi lain, kami sedia perluaskan pelaksanaannya ke seluruh negara,” jelasnya lagi.

Jelasnya lagi, penglibatan Petronas Sprinta sokongan moral, perancangan serta penggunaan jenama Petronas membantu melancarkan pelaksanaan program ini.

Program kali ini merupakan inisiatif infaq kedua yang dianjurkan oleh Dania Garage, selepas pelaksanaan pertamanya dua tahun lalu. Muizz menegaskan bahawa nilai kos bukanlah fokus utama, sebaliknya niat membantu lebih diutamakan.

Sebelum ini, Dania Garage juga pernah menganjurkan program CSR tayar Rahmah yang menjadi tular sebelum ini.

“Kami tak terlalu mengira jumlah perbelanjaan. Prinsip kami mudah bila kita bantu orang, insya-Allah rezeki akan datang dengan sendirinya,” ujar beliau penuh yakin.

Dalam masa sama, beliau turut menyeru lebih ramai peniaga dan pengusaha tempatan untuk mencontohi usaha ini sebagai sebahagian daripada budaya perniagaan yang membawa impak kepada masyarakat.

“Saya berniaga dengan semangat Cina, tapi bekerja dengan nilai Melayu dan Islam. Berniaga bukan hanya tentang keuntungan, tetapi tentang memberi manfaat kepada orang lain,” katanya.

Sementara itu, Pengasas Abang Minyak Hitam Jalanan, Mohd Yusof Mohd Noor, turut menyuarakan komitmen pihaknya untuk meneruskan kolaborasi strategik bersama Dania Garage.

“Kami sentiasa bersedia untuk membantu. Harapan kami, program seperti ini akan diteruskan dan diperluaskan agar lebih ramai dapat merasai manfaatnya,” katanya.

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading