Kuala Lumpur – Syarikat penerbangan, Philippine Airlines (PAL) menerbangkan sebanyak 23 agensi pelancongan dan 14 wakil media ke Guam, Amerika Syarikat.
Penerbangan itu adalah sebagai satu rangka promosi dengan kerjasama Biro Pelancongan Guam (Guam Visitors Bureau – GVB) bagi mempromosi serta merancakkan pelancongan ke Guam menggunakan penerbangan Philippine Airlines.
Penolong Naib Presiden – Agihan Jualan Philippine Airlines, Gene Pauline Banzon berkata, penerbangan ini bertujuan meletakkan Guam sebagai destinasi baharu untuk pasaran Malaysia disamping menjadikan Philippine Airlines sebagai pilihan utama ke mana-mana destinasi.
“Penerbangan ke Guam dengan PAL dari KLIA akan melalui transit ke Manila terlebih dahulu, kemudian dari Manila akan terbang terus ke Guam, penumpang boleh memilih sama ada penerbangan kelas bisnes mahupun ekonomi.
“Kami di PAL sentiasa memastikan keselesaan para penumpang dengan servis terbaik desamping mengekalkan momentum mempromosikan Guam sebagai destinasi pilihan” katanya kepada Malaysianews TV.

Perjalanan dari KLIA (Kuala Lumpur International Airport) ke Guam (Antonio B. Won Pat International Airport – GUM) biasanya mengambil masa sekitar 7 hingga 10 jam, bergantung kepada laluan dan waktu transit.
Editor Malaysianews TV, Nurul Fadhilah Jamian berkongsi keterujaan menaiki penerbangan ini ke Guam.
“Saya tidak mengenali destinasi Guam sebelum ini dan ketika ditawarkan terbang kesini dengan PAL, membuatkan saya teruja untuk berkongsi pengalaman bersama para pembaca.
“Guam adalah satu destinasi yang sangat cantik bagi pencinta alam semulajadi dan peminat aktiviti pulau, ditambah penerbangan yang lancar dan hospitaliti dari kakitangan PAL yang terbaik menjadikan pengalaman perjalanan itu sangat menyeronokkan” ujarnya.

Beliau turut berharap Philippine Airlines dapat menambah baik servis pada masa akan datang terutama pilihan hidangan makanan halal dalam pesawat bagi meningkatkan jumlah penumpang muslim.
Dalam masa sama, Pengurus Pemasaran Kanan Amerika Utara & Pasifik Biro Pelancongan Guam, Mark Manglona turut berterima kasih kepada wakil Malaysia yang sudi mempromosikan pelancongan di Guam.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kerana membenarkan kami berkongsi sedikit tentang Guam, kami sentiasa terbuka menerima pelancong dari Malaysia untuk menikmati keindahan alam disini” jelasnya.
