350a1f59-a8bc-440e-93be-fc3aaefbd1d3

KUALA LUMPUR – Persidangan Perhubungan Awam Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIP 7) edisi ketujuh yang berlangsung hari ini telah berjaya menghimpunkan perbincangan global penting mengenai masa depan bidang perhubungan awam (PR) dalam era kecerdasan buatan (AI) yang pesat berkembang.

Acara berprestij ini memberi penekanan terhadap peranan penting pertimbangan manusia, integriti dan prinsip etika dalam komunikasi moden yang kini turut digerakkan oleh teknologi AI. KLIP 7 tahun ini mengangkat tema “Kepintaran Buatan Berimpak, Komunikasi Media Sosial dan Pendidikan Dalam Talian untuk Komuniti ASEAN dan Global”.

Berlangsung seiring dengan KLIP 7 ialah Anugerah Kecemerlangan PR ASEAN 2025, yang dianjurkan dan dikendalikan oleh ASEAN Public Relations Network (APRN) yang berpangkalan di Jakarta. Majlis anugerah tersebut menyaksikan pengiktirafan kepada individu dan organisasi atas kempen kreatif serta sumbangan besar mereka dalam memajukan landskap PR serantau.

Pengasas dan Pengerusi APRN, Ibu Prita Kemal Gani menyatakan keterujaannya terhadap penganjuran bersama ini turut berkata, Anugerah Kecemerlangan PR ASEAN mewakili tahap tertinggi pencapaian komunikasi strategik di rantau ini. Pelaksanaannya bersama KLIP 7 yang memberi tumpuan kepada masa depan PR dalam era AI merupakan satu sinergi luar biasa. Ia mencerminkan komitmen bersama untuk mengiktiraf amalan PR yang berimpak, beretika dan inovatif ke arah masa depan digital yang bertanggungjawab untuk ASEAN.

Antara penghormatan tertinggi yang diberikan ialah Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat, yang disampaikan kepada dua tokoh utama industri, iaitu Prof. Dato’ Sri Dr. Syed Arabi bin Syed Abdullah Idid dan Mr. Tony Wenas sebagai tanda penghargaan terhadap sumbangan luar biasa mereka dalam bidang perhubungan awam.

KLIP 7 dilancarkan secara rasmi oleh YBhg. Datuk Profesor Dr. Azlinda Azman, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia. Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa dalam dunia masa kini yang disaluti maklumat sepantas kilat dan sempadan maya yang kabur, pendidikan dalam talian dan keselamatan siber bukan lagi satu pilihan – tetapi satu keperluan asas.

Sementara itu, Menteri Komunikasi, YB Datuk Fahmi Fadzil pula menyampaikan ucaptama utama yang membentuk hala tuju perbincangan mengenai tadbir urus AI yang bertanggungjawab serta peranan Malaysia dalam memimpin masa depan komunikasi serantau. Beliau turut menekankan kepentingan kepimpinan etika dalam memacu profesion komunikasi masa hadapan.

Salah satu rujukan utama dalam wacana etika AI adalah Venice Pledge dan Prinsip Panduan AI Bertanggungjawab, yang baru-baru ini diterima pakai oleh Global Alliance for Public Relations and Communication Management. Prinsip ini menekankan tingkah laku beretika, ketelusan, dan tadbir urus berasaskan manusia – kini menjadi penanda aras global untuk profesional komunikasi yang berdepan cabaran dunia AI yang semakin kompleks.

Jaffri Amin Osman, Pengerusi KLIP merangkap Ahli Lembaga Global Alliance, turut terlibat dalam pembentukan Venice Pledge dan menyatakan bahawa prinsip tersebut akan terus diintegrasikan ke dalam amalan harian PR untuk memastikan keselamatan digital dan komunikasi beretika.

KLIP 7 turut membariskan tokoh-tokoh global yang membentangkan pandangan mendalam terhadap peranan AI dalam komunikasi antaranya; Profesor Mike Hardy dari Coventry University, UK, mencabar peserta supaya memahami kuasa “gabungan kecerdasan”, serta kepimpinan awam yang kritikal.

“Kita kini berada dalam satu detik penting — ketika perilaku pintar diberi makna dan potensi baharu,” katanya.

Jennifer Muir, pakar ESG dan Penasihat Kerajaan Australia, menegaskan bahawa AI yang beretika dan berpusatkan manusia bukan lagi sekadar pilihan, tetapi satu keperluan strategik.

“KLIP di Malaysia kini menjadi medan utama bagi profesional PR serantau untuk meneliti peluang dan garis panduan bagi penggunaan AI secara bertanggungjawab.”

Rob van Alphen, Pakar Peningkatan Kemahiran AI dan Pengarah Polaris (UAE/Vietnam), pula menekankan bahawa AI mengubah bukan sahaja cara kerja kita, malah apa yang kita kerjakan.

“Ada peluang besar untuk profesional komunikasi menguasai AI dan membuka nilai baharu dalam kerja mereka. Di KLIP, kami kongsikan trend dan alat AI paling popular di seluruh dunia.”

Tahun ini, Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025 menjadikan KLIP 7 lebih signifikan, menonjolkan kepimpinan negara dalam memacu kerjasama serantau dalam keselamatan maklumat dan komunikasi digital yang beretika.

KLIP 7 berfungsi sebagai platform global utama untuk para pemimpin, profesional dan akademik dalam bidang PR dari ASEAN dan seluruh dunia, dengan barisan ucaptama, sesi panel dan forum perbincangan yang mendalam. Ia juga menawarkan peluang jaringan yang bernilai tinggi serta perkongsian amalan terbaik dalam dunia perhubungan awam.

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading