SAW_2723

ROMPIN – Villea Rompin Resort & Golf (VRRG) dengan bangganya telah menjadi tuan rumah bagi pusingan kedua Sirkit Golf Piala Sultan Pahang 2025, kejohanan golf diraja yang dinanti-nantikan sempena sambutan ulang tahun ke-66 Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.


Kejohanan ini menghimpunkan 128 pemain golf dari seluruh Pahang, berusia antara 17 hingga 75 tahun, dalam suasana pertandingan yang sihat dan penuh semangat, berlatarbelakangkan keindahan semula jadi kawasan Rompin. Sebagai lokasi rasmi, VRRG menyediakan pengalaman luar biasa dengan padang golf 18 lubang yang terletak di kawasan pantai yang turut dikelilingi kehijauan alam — memberikan cabaran unik kepada para peserta.


Sirkit tahun ini bermula di Mahkota Golf & Country Club (MGCC) di Kuantan pada 2 Jun, diikuti oleh pusingan kedua di Rompin. Pusingan seterusnya akan berlangsung di Kelab Golf Diraja Pekan (13 Julai) dan akan melabuhkan tirainya di Kelab Golf Diraja Pahang (3 Ogos). Sepanjang kejohanan ini, para peserta bukan sahaja bersaing untuk gelaran juara, malah turut berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik termasuk 64 hadiah kejohanan, serta ganjaran hole-in-one seperti motosikal dan kereta, selain cabutan bertuah di setiap lokasi.


VRRG turut berbesar hati menerima keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang yang telah berkenan mencemar duli menyempurnakan majlis penyampaian hadiah, sekali gus menyerikan lagi acara ini dengan penuh istiadat dan penghormatan.


Kejayaan penganjuran ini membuktikan komitmen VRRG dalam menyokong acara sukan bertaraf negeri dan dalam masa yang sama memperkukuh daya tarikan pelancongan di kawasan Rompin. Dengan perancangan rapi, pengurusan padang profesional serta penyertaan yang memberangsangkan, VRRG terus mengukuhkan kedudukan sebagai destinasi pilihan untuk kejohanan golf berprestij di Pahang.


Pihak resort berhasrat untuk terus bekerjasama dalam penganjuran acara bertaraf tinggi dan kekal komited dalam memberikan pengalaman yang bermakna kepada para pemain dan tetamu pada masa akan datang.

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading